David Beckham Daripada Zero Ke Hero

Mohd Hazwan oleh Mohd Hazwan 3 minggu yang lalu

Siapa yang tidak kenal David Beckham? Peminat bola sepak pasti mengenali David Beckham sebagai pemain bola sepak Manchester United, pakar sepakan percuma, kapten pasukan kebangsaan England dan juga ikon fesyen yang menjadi ikutan anak-anak muda satu ketika dulu.

Musuh Nombor Satu England

Ketika perlawanan pusingan 16 pasukan Piala Dunia 1998 yang menemukan pasukan England dan Argentina, Beckham telah dilayangkan kad merah apabila bertindak balas terhadap kekasaran yang dilakukan oleh Diego Simeone. Akhirnya pasukan England tewas dalam perlawanan tersebut menerusi penentuan sepakan penalti 3-4 setelah terikat 2-2 selepas masa tambahan.

Sumber: GQ.Com

Peristiwa kad merah tersebut telah menyebabkan Beckham menjadi musuh nombor satu peminat bola sepak di England. Satu patung dengan jersi Beckham telah digantung di sebuah pub di London sebagai bukti kemarahan yang meluap-luap peminat. Ditambah pula dengan peranan media yang seolah-olah mencurah minyak ke dalam api dengan mengeluarkan tajuk berita seperti "10 Ekor Singa Berani, Seorang Budak Bodoh." Lebih malang lagi, Beckham juga telah menerima ancaman bunuh.

“Manusia berindak terhadap kritikan dengan cara yang berbeza dan cara saya semestinya untuk keluar melawan."
– David Beckham

Beckham terus fokus dengan karier bola sepaknya walaupun terus dibenci oleh peminat bola sepak dan berjaya membantu Manchester United merangkul kejuaraan treble pada musim 1998/1999.

Hero Kelayakan Piala Dunia 2002

Ketika perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia 2002 menentang Greece, England hanya memerlukan satu mata untuk layak ke Piala Dunia 2002 secara automatik. Namun, England ketinggalan 1-2 kepada Greece dengan masa tambahan yang diberikan pengadil hanya tiga minit. Mereka amat memerlukan keajaiban untuk mencari gol penyamaan. Jika gagal mereka akan bermain di pusingan play-off untuk layak ke Piala Dunia.

Pada minit terakhir masa tambahan, England mendapat sepakan percuma di kawasan yang  menjadi kegemaran Beckham. Walaupun sepanjang perlawanan berlangsung, Beckham telah mensia-siakan banyak sepakan percuma. Kamera mula menunjukkan wajah-wajah cemas penyokong England di stadium.

Beckham dengan tenang melihat sasaran sebelum cuba melencongkan bola ke arah gawang Greece.

"Gollll!"

Bola menuju tepat di penjuru kanan gawang Greece dengan penjaga gol Greece hanya terpaku melihat bola sepakan Beckham menerjah jaring. Hari itu Beckham telah diangkat sebagai hero England dan dosanya dengan penyokong bola sepak England telah diampunkan.

Begitulah dalam kehidupan kita sebagai manusia, kita tidak terlepas dari menerima kritikan dan sindiran dari orang di sekeliling walaupun hanya disebabkan satu kesilapan kecil yang kadang-kadang tidak disengajakan. Dengan satu kesilapan, manusia mudah melupakan segala kebaikan yang pernah kita lakukan.

Usah bersedih. Teruskan berfikiran positif dan jadikan segala kritikan sebagai batu loncatan untuk kita menjadi manusia yang lebih baik dan berjaya pada masa akan datang.

Kalau kita tak tahan bila dibenci oleh orang lain boleh cuba nyanyi lagu ini:

Ku ingin ku dibenci olehmu

Agar kenangan manis terus terpadam selamanya

Sekian.


Share Tweet


Paparkan Komen