Kiatisuk Senamuang Letak Jawatan Setelah Dilabel Memalukan Oleh Presiden FA Thailand

Eikrem oleh Eikrem 6 bulan yang lalu

Ketua jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang atau digelar Zico telah meletakkan jawatan selepas presiden FA Thailand mengatakan keputusan Thailand dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2018 adalah memalukan.

Juara Asia Tenggara tersebut tewas 0-3 dan 0-4 masing-masing kepada Arab Saudi dan Jepun dalam perlawanan terbaru mereka dalam tempoh 10 hari, membuatkan presiden FAT, Somyot Poompanmoung tidak senang duduk lalu membuka mulut.

Somyot

Yang peliknya, Kiatisuk baru sahaja menyambung kontraknya pada bulan Februari, sehingga 2018, namun satu mata daripada tujuh perlawanan dalam kempen yang sukar ini menyebabkan dia meletakkan jawatan selepas hubungannya dengan Somyot sudah tawar.

"Patut ke kita puas hati dengan menang Piala Suzuki dan Suka SEA?" tanya Somyot dalam Bangkok Post.

"Lepas tu bila kita lawan pasukan kuat Asia, kita kalah 3-0 atau 4-0. Dahtu penyokong boleh gembira ke cenggitu?

"Mungkin sesetengah orang puas hati, tapi bagi aku ini memalukan! Aku tak boleh dan tak akan terima keputusan ni. Kita perlu melakukan sesuatu," sambung Somyot, gaya lenggok bahasanya sebiji seperti Husin bercakap dengan Pak Jabit dalam Hantu Kak Limah.

Bagi pihak Kiatisuk pula, dia sedang mempertimbangkan pilihan yang lain selepas membawa pasukan kebangsaanya memenangi Piala AFF buat kali kelima.

Kiatisuk merupakan anak didik lagenda bola sepak Malaysia, Bakri Ibni.

Ketika Kiatisuk mula memegang jawatan ini pada 2014, bola sepak Thailand ketika itu boleh dikatakan dalam keadaan memalukan.

Jumlah penyokong ke stadium untuk menonton perlawanan pasukan kebangsaan lebih sedikit jik dibandingkan dengan jumlah penyokong Sime Darby FC.

Bila Kiatisuk dibawa masuk, Thailand kembali menyengat sebagai pasukan terhandal Asia Tenggara dan mereka dikenali sebagai pasukan yang bermain 'tiki-taka'.

Di bawah Kiatisuk juga 50,000 penyokong di stadium telah menyaksikan bagaimana Thailand menjinakkan Iraq dan Vietnam dalam pusingan akhir kelayakan Piala Dunia dan ketika ini, Thailand dianggap sedang menuju ke era baru dan menjadi pasukan penanda aras di Asia Tenggara.

Kiatisuk merupakan satu-satunya manusia di dunia ini yang memenangi Piala AFF sebagai pemain dan jurulatih.

Untuk menggantikan Kiatisuk, Thailand dikhabarkan sedang berunding dengan Alejandro Sabella - jurulatih Argentina yang membawa pasukan negaranya ke perlawanan akhir Piala Dunia 2014 dan jika perkara ini menjadi kenyataan, maka Thailand mungkin bakal meneruskan lagi penguasaan mereka di rantau ini.

Laju juga orang Thailand buat kerja.

Apabila sedikit carian dibuat mengenai Somyot, dia sebenarnya merupakan seorang pegawai kerajaan yang memegang jawatan sama tarafnya dengan orang politik. Patut lah perangai dia sama dengan bos-bos bola di Malaysia.

Artikel diklepet dari ESPNFC




Paparkan Komen