The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Gambar: AsapSCIENCE

Khalid Ali : Satu Malaysia “DIKENCING” Oleh Isu Pendrive

Encik Bakri pada September 6, 2016

Legenda bola sepak negara, Khalid Ali menggesa pihak bertanggungjawab dalam isu panas pendrive yang sudahpun sampai ke episod terakhir untuk tampil memohon maaf kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Jelas bintang bola sepak era 70 dan 80-an itu, permohonan maaf tersebut wajar dilakukan kerana ia telah mencemarkan nama baik anggota FAM.

“Walaupun saya dah 30 tahun lebih bersara, tetapi saya masih lagi mengkritik FAM untuk pembangunan bola sepak tanah air…tak pernah dengar pun ada ra­suah.

“Saya menekankan di sini ba­hawasanya, pendrive adalah wa­yang semata-mata. Bermakna semua orang percaya dan satu Malaysia telah ‘dikencingkan’ (ditipu).

“Saya minta orang yang bertanggungjawab meminta maaf. Kita sebagai orang Islam, kalau kita mengaibkan, mempermainkan atau menjatuhkan maruah orang, itu tak baik. Ini tahap yang boleh dikatakan paling tinggi, iaitu fitnah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

khalid-ali
Khalid Ali | Gambar : Utusan Online

Misteri isi kandungan pendrive hari ini terjawab setelah Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa laporan dalam alat peranti tersebut bebas daripada sebarang unsur rasuah.

Jumaat lalu, Khairy men­­ye­rahkan pendrive beserta senas­kah salinan kandungan laporan setebal 279 muka surat kepada Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Khairy berkata, pendrive serta naskhah yang diserahkan itu merupakan bahan asal sepertimana yang diterimanya daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 26 Ogos lepas.
Sementara itu, Khalid turut menggesa agar FAM mengambil tindakan sewajarnya terhadap pembocor laporan tersebut, sebelum dia sendiri mendedahkan nama itu.

“Tekaan kami tepat…saya tahu, FAM pun tahu siapa dalang yang membocorkan laporan itu. Saya minta FAM mengambil tindakan sewajarnya sebelum saya pula keluarkan (dedahkan) namanya,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid tidak bersetuju supaya bahan laporan di dalam pendrive tersebut dijadikan sebagai tatapan umum sepertimana yang dicadangkan Khairy, biarpun demi pembangunan bola sepak negara.

“Saya rasa tak wajar (didedahkan kepada tatapan umum). Cukuplah Menteri Belia dan Sukan dipermainkan. Banyak lagi kerja yang lebih mustahak daripada ‘tajuk kelakar’ ini,” ujarnya.

Sumber : Utusan Online