KFA Tolak Perletakan Jawatan Tan Cheng Hoe

Eikrem 4 bulan yang lalu

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) semalam menolak surat penamatan kontrak jurulatih mereka, Tan Cheng Hoe, pada 1 April lalu dan ini menjadikan Cheng Hoe masih lagi kekal bersama pasukan Lang Merah.

Ini berikutan KFA masih lagi belum menerima tawaran rasmi daripada FAM untuk mengambil Cheng Hoe sebagai pembantu Gomez bersama skuad Harimau Malaya.

Bercakap kepada Berita Harian, Cheng Hoe berkata dia akur dengan keputusan KFA tersebut.

“Saya akur dengan keputusan pihak pengurusan KFA yang memutuskan saya masih kekal sebagai ketua jurulatih pasukan Kedah.

“Untuk urusan berkaitan surat tawaran rasmi daripada FAM mengenai pelantikan saya sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan, biarlah kita tunggu dan lihat.

Cheng Hoe membawa Kedah memenangi Piala Malaysia 2016.

“Buat masa ini, saya akan terus memberi fokus dan tumpuan untuk persiapan pasukan Kedah menjelang perlawanan Liga Super yang akan disambung semula serta suku akhir kedua Piala FA,” katanya.

Dalam perlawanan Piala FA hari minggu yang lalu, Kedah dengan selamba membelasah PKNP FC 6-1, dan boleh dikatakan gergasi bola sepak Malaysia ini sudah sebelah kaki berada di separuh akhir.

Walaupun Cheng Hoe masih kekal sebagai jurulatih Kedah, KFA dikatakan telah menghubungi dua jurulatih – Ramon Marcote dan Azrai Khoor sebagai penggantinya.

Ramon Marcote

Siapa pun yang menggantikan Ah Hoe, tugasnya bukan mudah untuk kekalkan corak permainan terbaik di Malaysia ni. Silap-silap lepas ni Kedah kembali bermain bola tawakkal.

Pertahanan sepak lambung ke atas sambil bertawakkal penyerang mampu sambut bola tersebut. Kelakar kan?