Kerana Koyak Diperli, Carragher Ludah Penyokong Cilik Manchester United

Izuddin oleh Izuddin 9 bulan yang lalu

Bekas pemain Liverpool yang kini bekerja sebagai penganalisa di Skysports, Jamie Carragher telah dirakam meludah ke arah muka remaja perempuan berusia 14 tahun.

Carragher berbuat demikian selepas diperli bapa kepada remaja terbabit berikutan kekalahan 2-1 Liverpool di tangan Manchester United Sabtu lalu.

Phuiiiiiiii. Detik ketika Carragher melancarkan serangan air liurnya terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun

Ketika kejadian tersebut, kereta Range Rover yang dipandu Carragher bergerak perlahan di atas jalan raya berikutan peminat berpusu-pusu pulang selepas tamat perlawanan di Old Trafford.

Menyedari kelibat Carragher di sebelah keretanya, bapa remaja terbabit mengambil peluang tersebut untuk memerli Carragher berkenaan kekalahan Liverpool di tangan United.

Dalam video yang dirakam remaja terbabit, Carragher menurunkan cermin keretanya dan meludah ke arah perakam video selepas bapa remaja tersebut berkata,

"Unlucky Jamie lad" - "2-1!"

Kecoh satu England sebab air liur Carragher

Menyedari tindakan beliau dirakam dan telah diviralkan, Carragher menerusi laman Twitter beliau telah membuat permohonan maaf terhadap keluarga terbabit dan menyesali tindakannya.

"Saya ingin membuat permohonan maaf berkenaan tindakan saya meludah remaja terbabit dimana pada ketika itu saya telah hilang pertimbangan."

"Apa yang saya lakukan memang tidak wajar dan saya secara peribadi sudah meminta maaf kepada keluarga terbabit."

Carragher menambah lagi yang beliau telah diprovokasi sebanyak 3,4 kali sepanjang perjalanan pulang dari Old Trafford.

"Saya secara berterusan telah diprovokasi dan diejek berkali-kali. Mereka juga telah merakam perbuatan itu sepanjang trafik yang bergerak perlahan. Saya sangat menyesali tindak balas saya dalam kejadian tersebut."

Berikutan insiden memalukan itu, Carragher berdepan risiko dipecat dari kerjaya beliau selaku penganalisa bolasepak di Skysports.

Polis juga boleh mendakwa Carragher atas kesalahan meludah atau bertindak di luar batasan di kawasan umum.

Dalam satu temuramah bersama bapa remaja yang diludah Carragher, beliau mendakwa tidak melakukan sebarang provokasi terhadap Carragher seperti yang didakwa legenda Liverpool itu.

"Apabila saya melihat kelibat Carragher di dalam kereta, saya hanya menjerit nama beliau sahaja. Saya tidak bertindak aggresif mahupun kurang ajar."

Semoga kesilapan Carragher dapat dimaafkan Skysports. Kalau tak siapa nak teman Gary Neville

"Carragher bertindak balas dengan meludah anak perempuan saya. Jika dilihat perwatakan beliau ketika berada di kaca televisyen, beliau adalah individu yang baik yang suka berjenaka."

Carragher dilaporkan bakal dikenakan tindakan disiplin daripada Skysports dan lebih teruk lagi beliau mungkin dipecat dari kerja beliau sekarang.

Beliau sebelum ini pernah memberikan komen mengenai insiden ludah membabitkan bekas pemain Manchester United, Jonny Evans dengan bekas penyerang Newcastle United, Papiss Cisse. Evan dirakam meludah ke arah Cisse ketika perlawanan berlangsung dan Carragher menggelar perbuatan Evans itu sebagai satu tindakan yang 'jahat'. Untuk rekod, Evans dikenakan penggantungan 6 perlawanan atas kesalahan tersebut.




Paparkan Komen