The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Kenapa tiada Great Britain FA?

Eikrem pada June 12, 2016

Sejarah penubuhan Football Assiciation – Kenapa tiada Great Britain FA?

Bola sepak adalah sukan yang paling popular di atas muka bumi dunia yang fana ini dan sukan ini dikatakan berasal dari England. Ya, Brazil cakap bola sepak berasal dari mereka, tapi memandangkan England dah menguasai satu dunia suatu masa dahulu, jadi merekalah yang mengaku sebagai pencetus ummah bola sepak.

Jadi, memandangkan bola sepak ni dikatakan mula dimainkan di England, maka penggiat bola sepak di sana telah menubuhkan The FA di London pada tahun 1863 masehi. Kenapa tidak English FA? Kerana mereka adalah yang pertama dan tidak pernah mereka terfikir bakal ada FA dari negara lain terutamanya Malaysia.

Jadi, setelah penubuhan The FA, mereka agak keliru dengan skop kawalan The FA, adakah kuasa mereka sekadar di England? Atau di seluruh Great Britain? Atau menganjak ke United Kingdom? Atau ke seluruh tanah jajahan England yang lain seperti Persekutuan Tanah Melayu?

Soalan ini terjawab apabila jiran England, Scotland menubuhkan Scottish FA pada tahun 1873 selepas perlawanan wakil Scotland menentang wakil England pada tahun 1872.

Kemudian Wales pula menubuhkan Welsh FA pada tahun 1876 dan Ireland (sebelum berpecah kepada Ireland Utara dan Republik Ireland) menubuhkan Irish FA pada 1880. Setelah setiap negara menubuhkan FA masing-maing, mereka bersepakat untuk menggelarkan keempat-empat FA ini sebagai ‘Home Nations’.

Baca : Brexit Memberi Masalah Kepada Real Madrid dan Bale

Pada 1886, Home Nations ini telah bersepakat untuk menubuhkan International Football Association Board (IFAB) – satu badan yang akan menguruskan perlawanan antara keempat-empat negara ini.

Ahli-ahli IFAB
Ahli-ahli IFAB

Pada tahun-tahun berikutnya sukan bola sepak menjadi semakin popular dan negara seperti Belgium mula menubuhkan FA mereka pada 1875, Jerman (1900) dan Switzerland (1904).

Pada 1904, FIFA ditubuhkan oleh Belgium, Jerman, Switzerland, Sepanyol, Perancis, Belanda, Denmark dan Sweden. Ketika ini negara seperti Perancis dan Sepanyol masih belum mempunyai FA mereka sendiri dan masing-masin diwakili Persatuan Sukan Seluruh Perancis dan Kelab Bola Sepak Madrid.

Pengaruh FIFA semakin kuat dengan penyertaan negara-negara lain di seluruh eropah dan membiak ke serata dunia.

Pada 1913, Home Nations bersepakat untuk menyertai FIFA dan pada masa yang sama FIFA menyertai IFAB. Sejak hari itu IFAB dikenali sebagai badan yang menyelia dan mengawal peraturan bola sepak (Law of the Games).

Secara mudahnya, Home Nations adalah sebahagian dari FIFA, dan FIFA adalah sebahagian dari IFAB. Pening kan?

Pada tahun 1921, negara Ireland berpecah kepada Republik Ireland dan Ireland Utara dan konflik berlaku berkenaan siapa pemilik IFA dan seterusnya mendapat hak untuk duduk bersama Home Nations. Selepas 2 tahun, IFAB dan FIFA bermuafakat untuk menentukan IFA adalah milik Ireland Utara, memandangkan Ireland Utara masih menjadi tanah jajahan Great Britain dan Republik Ireland menubuhkan Football Association of Ireland (FAI) sekaligus hilang hak taraf Home Nations.

Pada 1928, Home Nations secara rasminya telah keluar dari FIFA kerana angkuh dan bongkak dan menyangka mereka adalah boss besar. Walaubagaimanapun pada tahun 1946, kira-kira 18 tahun kemudian Home Nations kembali menyertai FIFA dan sepanjang tempoh merajuk, mereka telah terlepas tiga kali Piala Dunia pada tahun 1930, 1934 dan 1938.

Sejak hari itu, Home Nations hidup gembira bersama FIFA.

Walaupun ada cadangan untuk membentuk pasukan bola sepak Great Britain (termasuk Ireland Utara) untuk menaikkan peluang mereka memenangi Piala Dunia atau Kejohanan Eropah, cadangan ini mendapat tentangan pelbagai pihak kerana idea ini mampu menguburkan keempat-empat FA dan Great Britain FA diwujudkan.

Giggs - pasti akan dapat merasai suasan Piala Dunia dan Euro sekiranya Great Britain FA ditubuhkan
Giggs – pasti akan dapat merasai suasan Piala Dunia dan Euro sekiranya Great Britain FA ditubuhkan