The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Kenapa Kelab Liga China mampu berbelanja besar, dan perbandingan dengan Liga Malaysia

Eikrem pada February 16, 2016

Dalam seminggu dua ni kita baca dalam portal berita bola sepak internet di mana kelab-kelab bola sepak Liga Super China membeli pemain-pemain dari Liga Eropah dengan harga yang tak tercapai akal orang biasa berfikir. Lebih menarik lagi, para pemain yang dibeli adalah pemain yang boleh dikatakan masih muda, berbeza dengan Major League Soccer di US yang mana kebanyakan pemain masyhur adalah ibarat ayam yang akan pencen sebulan dua lagi.

Segalanya bermula dengan pemain picisan Chelsea, Ramirez – selalu membuat larian yang tidak tentu arah – dibeli oleh Jiangsu Suning dengan nilai 36.1j USD. Beberapa hari kemudian, kelab Guangzhou Evegrande membeli pemain yang dikaitkan dengan Arsenal, Jackson Martinez pada harga 47.1j USD. Jiangsu ni pantang kalau ada orang lebih dari mereka, lantas berbekalkan wang yang melimpah ruah di dalam gudang, mereka membeli pemain sasaran Liverpool, Alex Teixera pada harga 56.1j USD.

Malah kelab divisyen dua, Beijing Renhe telah membeli Nikica Jelavic pada harga 4j USD – lebih mahal dari Riyad Mahrez campur Jamie Vardy!

Tiga rekod nilai pembelian pemain dipecahkan dalam masa dua minggu. Begitu kuat sekali kuasa membeli kelab-kelab liga Super China.

Kenapa Kelab Liga China mampu berbelanja besar dibandingan dengan Liga Malaysia

Kalau kita kaji dengan tidak berapa mendalam, kesemua pasukan di Liga China, sama ada Liga Super atau Liga China 1, pasukan yang bertanding dimiliki syarikat konglomerat dan hartawan yang kaya raya. Mungkin lebih kaya dari keluarga diraja di Malaysia. Hasil kekayaan mereka dalah melalui perniagaan dalam pelbagai bidang. Dan disebabkan mereka dimiliki oleh syarikat-syarikat besar, maka nama pasukan juga sering kali berubah mengikut syarikat pemilik.

Contohnya Guangzhou Evegrande, juara liga musim lalu. Pada 2010, nama kelab mereka ialah Guangzhou Football Club. Pada pertengahan tahun 2010, syarikat Evegrande Real Estate Group, syarikat hartanah kedua terbesar di China membeli kelab tersebut dan menukar nama kepada Guangzhou Evegrande Football Club. Pada 2014, website terkemuka, Alibaba.com menerusi pemiliknya, Alibaba Group membeli 40% saham kelab Guangzhou ini dan nama kelab sekali lagi ditukar menjadi Guangzhou Evegrande Taobao Football Club.

GuangzhouEvergrandeTaobao_FC_2015

Itu di China. Di Malaysia, cukup dengan sekadar menaja pasukan sudah pasti nama kelab boleh ditukar. Engkorang carilah sendiri nama pasukan mana ditukar kepada nama penaja.

Berkenaan pemilik kelab, syarikat-syarikat atau hartawan tersebut mempunyai empayar perniagaan yang ‘pergghhhhh, gila lah.’ Antara pemilik kelab di sana disimpulkan dalam jadual di bawah.

Kelab Pemilik Bidang perniagaan Pendapatan tahunan
Guangzhou Evegrande Taobao FC Evegrande Real Estate (60%)

Alibaba Group (40%)

Evegrande – Hartanah

Alibaba – Internet

Evegrande – 141b USD

Alibaba – 12.29b USD

Shanghai SIPG FC Shanghai Port Group Pelabuhan 25b USD
Shandong Luneng Luneng Group Membekal elektrik 54.5b USD
Beijing Guoaon Citic Group Syarikat pelaburan kerajaan (macam 1MDB) 30B USD
Jiangsu Suning Suning Commerce Barang awam 16.24b USD
Shanghai Greenland Shenhua Nine City Permainan on-line 42.5b USD

Terbeliak mata kan?

Dengan wang yang dimiliki pemilik-pemilik kelab, mereka mampu untuk membeli siapa sahaja. Malah ada ura-ura yang mengatakan ada kelab yang sedang mempertimbangkan untuk membeli Wayne Rooney dan bakal membayar gajinya sebanyak 500,000 GBP seminggu!

Kalau di Malaysia, pasukan selalunya dimiliki oleh persatuan bola sepak negeri a.k.a orang politik dan anak raja. Kalau ada syarikat yang menjadi pemilik seperti PKNS, Felda, Sime Darby dan DRB-Hicom, selalunya mereka tidak mempunyai ramai peminat dan penyokong, dan perlawanan mereka kurang mendapat sambutan.

Chinese Super League juga baru-baru ini menandatangani perjanjian penyiaran liga bola sepak China dengan nilai sebanyak 1.3b USD untuk tempoh 5 tahun. Ini bermakna pendapatan kelab-kelab di sana bakal bertambah dengan berlipat kali ganda. Liga Malaysia juga baru sahaja memecahkan rekod hak penyiaran dengan nilai lebih RM1b, untuk tempoh..hmmmm.. berapa belas tahun entah.

Memandangkan hukuman mati terhadap penyeleweng wang, atau dalam bahasa mudahnya perasuah di China, agak sukar untuk melihat hasil hak penyiaran tersebut disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

Berbeza sekali di Malaysia, di mana agak sukar untuk melihat ke mana hasil dari perjanjian dengan MP&Silva itu dibelanjakan. Syarikat yang menguruskan Liga Malaysia pula hanya berstatus LLP/PLT – tidak wajib menghantar laporan audit setiap tahun.

Peluang pasukan liga Malaysia mampu menarik pemain kelas dunia bermain di negara ini akan terbuka sekiranya tahap kemampuan kewangan meningkat, tetapi perkara ini boleh dikatakan sebagai mimpi buat masa ini. Untuk melihat perubahan berlaku, 50 tahun lagi mungkin tidak cukup selagi……….(kau sambunglah sendiri.)


Download aplikasi The Sukan di Google Play