Kelantan Dan T-Team Dipotong 6 Mata

Encik Bakri oleh Encik Bakri 4 bulan yang lalu

Football Malaysia LLP (FMLLP) telah membuat keputusan untuk memotong 6 keatas 4 pasukan kerana gagal melengkapkan proses pendaftaran, 4 pasukan ini juga berhadapan larangan mendaftar pemain baru selagi tidak melengkapkan proses pendaftaran tersebut sebelum 15 Mei 2017.

Kelantan FA dan T-Team FC (pasukan Liga Super) serta ATM FA dan Perlis FA (pasukan Liga Premier) masing-masing dipotong 6 mata selepas beberapa kali diberi peluang untuk melengkapkan pendaftaran yang merangkumi :-

1. Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Gaji
2. Surat Selesai Bayaran/Tunggakan KWSP
3. Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Perkeso
4. Surat Selesai Bayaran/Tunggakan LHDN

Dengan erti kata lain mata mereka dipotong kerana tidak menyelesaikan tunggakan gaji pemain. Korang baca sendiri kenyataan penuh FMLLP.

Pemotongan Mata Pasukan Yang Gagal Melengkapkan Proses Pendaftaran

Susulan daripada isu pengesahan penyertaan pasukan dalam pertandingan Liga Super dan Liga Premier 2017 yang diberikan tarikh akhir pada 31 Disember 2016, Football Malaysia LLP (FMLLP) telah menghantar surat peringatan pertama pada 27 Januari 2017.

Selain itu, pihak FMLLP telah menghubungi pasukan melalui telefon sebagai peringatan untuk melengkapkan proses pendaftaran.

Peringatan Kedua

Pada 7 Mac 2017, surat peringatan kedua telah dihantar dan pihak FMLLP sekali lagi telah menghubungi pasukan-pasukan melalui telefon untuk memberi peringatan untuk melengkapkan proses pendaftaran melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB) sebelum 31 Mac 2017.

Pasukan harus memuatnaik Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Gaji, Surat Selesai Bayaran/Tunggakan KWSP, Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Perkeso dan Surat Selesai Bayaran/Tunggakan LHDN ke sistem SPMB untuk melengkapkan pendaftaran pasukan. Surat-surat selesai bayaran/tunggakan adalah untuk bayaran/tunggakan dari tahun-tahun sebelum tahun 2017.

Oleh kerana kegagalan melengkapkan proses pendaftaran, pemotongan 6 mata perlawanan akan dikenakan kepada pasukan dan berkuatkuasa dengan serta-merta. Pasukan tersebut adalah :

a) Liga Super 2017: Kelantan FA & T-Team FC
b) Liga Premier 2017: ATM FA & Perlis FA

Dilarang Daftar Pemain

Untuk makluman juga, jika pasukan-pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran seperti yang dinyatakan di atas sebelum 15 Mei 2017, maka pasukan tersebut akan dilarang daripada mendaftar pemain baharu semasa tempoh pendaftaran kedua sehingga perkara berkaitan diselesaikan sepenuhnya.

Namun begitu, pasukan-pasukan hanya boleh mendaftar pemain baharu jika pasukan-pasukan memperolehi pendapatan hasil dari pengurangan jumlah pemain yang sediada dalam pasukan di mana jumlah yang boleh dibelanjakan untuk menandatangani pemain baharu adalah bersamaan dengan jumlah yang diperolehi hasil dari transaksi perpindahan mana-mana pemain serta jumlah yang dijimatkan hasil dari pengurangan jumlah pemain keseluruhan.

Disingkir ke Liga Bawah

Tambahan lagi, jika pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran sebelum hari terakhir musim 2017 iaitu 31 Oktober 2017, tindakan boleh diambil untuk menyingkirkan pasukan tersebut ke divisyen yang bawah daripada divisyen di mana pasukan tersebut sepatutnya bertanding untuk musim 2018.

Kegagalan pasukan tersebut untuk melengkapkan proses pendaftaran sebelum permulaan musim 2018 boleh menyebabkan penyertaan pasukan tersebut dibatalkan untuk musim 2018.
Tindakan-tindakan di atas boleh diambil oleh FMLLP melalui peruntukkan kuasa yang sedia ada di bawah PERKARA 43, PERATURAN PERTANDINGAN, MANUAL LIGA MALAYSIA 2017.

Sumber Asal Dari FMLLP Dan FAM




Paparkan Komen