The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Kedudukan Mourinho Tidak Menentu

Encik Bakri pada December 17, 2015

LONDON: Kedudukan dan masa depan Jose Mourinho sebagai pengurus Chelsea masih lagi tidak menentu selepas gagal meningkatkan mutu persembahan pasukan kendaliannya.

Menurut laporan akhbar Dailymail, lembaga pengarah Chelsea sudah berbincang berhubung kedudukannya malam tadi, namun Daily Telegraph pula melaporkan mereka sudah mula mencari pengurus baharu bagi menggantikan Mourinho.

Juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, Chelsea, kini hanya berada satu mata di atas di atas zon penyingkiran selepas tewas sembilan daripada 16 perlawanan liga setakat ini, walaupun berjaya mara ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah.

Baca : Mourinho Bakal Catat Rekod Dunia Jika Di Pecat

Laporan mengatakan pemilik Chelsea, Roman Abramovich terpaksa membayar sehingga 40 juta pound (RM260 juta) untuk memecat Mourinho buat kali kedua, selepas menyingkirkan pengurus kelahiran Portugal itu pada 2007.

Mourinho menandatangani kontrak baru selama empat tahun pada Ogos lalu dengan Chelsea turut memberikan undi kepercayaan kepadanya Oktober lalu, namun masih tiada pengumuman rasmi berhubung kedudukannya selaku pengendali Chelsea sejak itu.

Mourinho dijangka akan tetap mengendalikan sesi latihan di padang latihan Cobham bagi menghadapi Sunderland pada aksi liga, Sabtu ini. Sementara itu, beberapa akhbar termasuk The Sun melaporkan pemain Chelsea berang apabila Mourinho mendakwa dia dikhianati selepas tewas 2-1 di tangan pendahulu liga, Leicester City.

Namun pemain tengah, Cesc Fabregas berkata, ia menjadi tanggungjawab pemain untuk memberikan persembahan yang lebih baik selepas permulaan musim yang hambar.

“Kami semua akan bertanggungjawab atas keadaan pasukan buat masa ini. Jika anda pemain ternama dan dibayar seperti pemain ternama, anda perlu bermain seperti pemain ternama dan tunjukkan kelakuan sebagai pemain ternama.

“Masih ada masa untuk kami bangkit, tapi kami perlu bermula sekarang. Semuanya bergantung pada kami,” katanya. -AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/node/105787


Download aplikasi The Sukan di Google Play