The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Kedah Bakal Ditaja D’Herb Terlajak Laris RM30 Juta

Encik Bakri pada March 31, 2016

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bakal menerima tajaan berjumlah RM30 juta daripada syarikat produk kesihatan dan kecantikan D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd, seandainya segala perbincangan berjalan lancar.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar, berkata tajaan itu adalah bagi tempoh tiga tahun iaitu RM10 juta setiap tahun.

“Kami dalam proses akhir perbincangan dengan pengasas D’Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamaruzaman yang dijangka menemui Menteri Besar yang juga Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah petang esok.

“Ia bagi membincangkan beberapa perkara terkini bagi memastikan persetujuaan dapat dicapai antara kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, tajaan itu pasti membantu merancakkan bola sepak Kedah selain menjadi pencetus semangat kepada skuad Helang Merah untuk berusaha lebih kuat bagi memastikan kejayaan pada musim ini.

Beliau berkata D’Herbs ada meletakkan beberapa syarat yang tidak bersifat melampau dan tidak mengganggu kelangsungan KFA serta skuad negeri itu untuk memberi fokus pada setiap perlawanan.

“Antara syaratnya adalah meminta kita menyediakan logo dan banting D’Herbs di sekitar Kedah dan ia boleh ditunaikan sekiranya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan dan beberapa syarat lagi yang sedang kita pertimbangkan.

Aminudin berkata, selain D’Herbs, syarikat Cosmic Express juga bersetuju terus menaja bas rasmi KFA untuk kegunaan pasukan Helang Merah.

“Majlis penyerahan bas dijangka berlangsung dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, mengenai perlawanan suku akhir kedua Piala FA antara Kedah dan Sabah di Stadium Darul Aman di sini malam esok, Aminuddin berharap semua penyokong negeri dapat hadir memberi sokongan untuk memastikan skuad itu mara ke separuh akhir.

“Memang kita sasarkan untuk membawa Piala FA pulang semula ke Kedah tahun ini,” katanya.

Kedah, juara Piala FA tiga kali pada 1996, 2007 dan 2008, menang 2-1 dalam perlawanan suku akhir pertama di gelanggang lawan.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata kerja penambahbaikan padang di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini sedang berjalan dan dijangka siap Jun ini dan boleh digunakan oleh pasukan untuk menjalani latihan sekitar Julai dan Ogos ini. – BERNAMA

Selanjutnya di : Berita Harian


Download aplikasi The Sukan di Google Play