Kapten Atletico Madrid Mahu Griezmann Bermain Sepenuh Hati Sehingga Penghujung Musim

Izuddin oleh Izuddin 3 bulan yang lalu

Kapten Atletico Madrid, Gabi mahu Antoine Griezmann memberikan segala-galanya untuk Atletico Madrid dalam baki perlawanan musim ini sebelum pemain tersebut berhijrah keluar musim hadapan.

Pemain antarabangsa Perancis ini sekali lagi memainkan peranaan penting buat Atletico Madrid ketika mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Celta Vigo di Vicente Calderon. Griezmann bermain cemerlang dalam perlawanan tersebut dengan satu gol dan satu assist berjaya disumbangkan beliau.

Berikan segala yang anda ada selagi anda pemain Atletico Madrid

Dua lagi gol Atletico Madrid dijaringkan oleh Vitolo dan Angel Correa. Kemenangan ini meletakkan Atletico Madrid kembali ketinggalan 8 mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona. Dengan perlawanan La Liga hanya berbaki 10 perlawanan sahaja lagi, mereka kini selesa mendahului seteru setempat, Real Madrid dengan kelebihan 7 mata.

Berbalik kepada Griezmann, beberapa laporan dari pihak media mengatakan pemain ini sudah mencapai persetujuan secara lisan dengan pihak kelab dimana beliau akan dibenarkan berpindah ke kelab pilihan beliau musim hadapan.

Bekas pemain Real Sociedad ini mempunyai klausa pelepasan minimum berjumlah £177.79 juta dalam kontraknya bersama Atletico Madrid, tetapi nilai tersebut akan berkurang separuh musim panas ini menjadi £88.9 juta.

Beberapa sumber yang boleh dipercayai melaporkan Griezmann sudah bersetuju untuk menyertai Barcelona musim panas nanti dan pasangan Griezmann juga diberitakan sedang mencari rumah untuk didiami di Bandar Catalan.

Gandingan Costa-Griezmann makin berbisa

Kapten Atletico Madrid, Gabi sedar bukan semua pemain mempunyai perasaan taat setia seperti dimiliki beliau dan sudah bersedia untuk menerima hakikat yang Griezmann bakal berhijrah keluar tidak lama lagi. Ketika bercakap kepada wartawan kelmarin, Gabi mahu Griezmann memberikan segala-galanya untuk Atletico Madrid dalam baki perlawanan yang ada.

"Apa yang saya pinta dengan Griezmann selagi beliau berada di Atletico Madrid adalah terus bermain bermati-matian untuk kelab. Saya meminta Griezmann mempertahankan jersi kelab ini seperti mana ia berhak dipertahankan."

"Saya faham bukan semua pemain mempunyai Atletico Madrid dalam hati mereka dan mampu bertukar kelab. Peminat tidak perlu mengkritik atau menghukum mereka."

Griezmann bergelut untuk menampilkan prestasi sebenar beliau pada awal musim dan pernah diejek segelintir penyokong Atletico Madrid ketika perlawanan kerana menunjukkan minat secara umum untuk menyertai Barcelona dan juga Manchester United.

Walaupun demikian, perkara tersebut seperti sudah dilupakan peminat Atletico apabila Griezmann menerima sorakan gemuruh selepas beliau berjaya menjaringkan gol pembukaan ketika perlawanan menentang Celta Vigo semalam.

Bakal memainkan peranan penting buat Perancis musim panas nanti di Russia

"Antonie adalah pemain yang istimewa dalam skuad ini, beliau disukai setiap pemain dalam bilik persalinan. Beliau mempunyai kebolehan teknikal yang lebih tinggi dari pemain lain dan mampu mengubah keputusan sesuatu perlawanan."

"Pada awal musim banyak perbincangan mengenai Griezmann berlaku berkenaan minat Barcelona dan kelab-kelab lain terhadapnya yang mampu mengganggu fokus beliau."

"Apa yang saya minta dari Griezmann adalah terus bermain bermati-matian seperti yang dilakukan beliau ketika ini. Saya mahu beliau mengubah keputusan perlawanan kerana beliau merupakan salah seorang pemain dalam skuad ini yang mampu melakukan perkara tersebut."




Paparkan Komen