The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Kabel Brek Bas Yang Dinaiki Oleh Pemain Pasukan Perak Telah Dipotong

Encik Bakri pada August 21, 2015

IPOH – Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mengesyaki ada pihak tertentu yang mahu mengancam nyawa pemain skuad Bos Gaurus apabila mendakwa kabel brek hidraulik bas yang dinaiki oleh pemain pasukan Perak didapati telah dipotong.

Setiausahanya, Abd. Aziz Yob Jamaluddin berkata, perkara itu disedari ketika bas tersebut dalam perjalanan pulang ke sini selepas tamat perlawanan Liga Super di antara Johor Darul Ta’zim dan Perak di Johor Bahru kelmarin.

Menurutnya, ini menyebabkan bas berkenaan rosak dan pemain terpaksa diturunkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh di Selangor sebelum meneruskan perjalanan de­ngan sebuah bas lain yang dihantar untuk menjemput mereka di hentian tersebut.

“Kabel brek hidrolik seperti dipotong, menyebabkan minyak hidraulik keluar sedikit demi sedikit sehinggalah disedari di Sungai Buloh.

“Adakah niat untuk membunuh? Kabel seperti dipotong-potong. Saya tidak mahu membuat tohmahan. Namun ini melibatkan nyawa.

“Saya memerlukan bukti yang sahih. Saya akan mendapatkan laporan lengkap dan tepat mengenai perkara ini yang akan saya kemukakan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Kemenangan 4-1 JDT ke atas Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos kelmarin dicemari kekecohan oleh penyokongnya, yang memaksa polis bertindak dan menahan 14 penyokong pasukan tuan rumah.

Mengenai kekecohan dan kecederaan yang dialami oleh penyokong Perak, Abd. Aziz berkata, Pafa dukacita dengan kejadian tersebut walaupun Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sudah memberikan jaminan keselamatan terhadap penyokong pasukan pelawat.

Katanya, dalam kes penyokong Perak cedera parah akibat dibaling besi, insiden tersebut berlaku di luar stadium dan penyokong yang tidak bersalah menjadi mangsa.

“Saya percaya kejadian ini berpunca daripada dendam yang tidak berkesudahan di antara kedua-dua pasukan.

“Saya harap FAM mengambil serius kejadian ini supaya perkara yang sama dapat dihindari pada masa akan datang,” katanya.

Baca : PUNCA INSIDEN KEKECOHAN PENYOKONG JDT DI STADIUM LARKIN

Beliau turut mencadangkan supaya FAM mengkaji sama ada hukuman yang bakal dikenakan terhadap pasukan terlibat dalam kekecohan semalam dapat meredakan kekecohan daripada berulang.
Untuk itu, Abd. Aziz mencadangkan pertembungan kedua-dua pasukan pada masa akan datang dilangsungkan tanpa kehadiran penonton.

“Biarlah perlawanan kedua-dua pasukan hanya disiarkan secara langsung di televisyen. Ini kerana pertembungan Perak dan JDT kini menjadi beban kepada kedua-dua persatuan bola sepak negeri,” katanya.

– http://www.utusan.com.my


Download aplikasi The Sukan di Google Play