The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Jurulatih Tempatan Amalkan Latihan Cara Lama Dan Masih Duduk Dalam Gua – Lim Teong Kim

Encik Bakri pada December 4, 2015

Kuala Lumpur: Selepas berdiam diri sejak kenyataan panasnya melabelkan jurulatih tempatan sebagai ‘bodoh sombong’, akhirnya Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim, hari ini tampil bersuara mempertahankan pendiriannya itu.

Tegasnya, walaupun dirinya dikritik hebat oleh Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) berhubung kenyataannya sebelum ini, beliau enggan mengambil pusing sebaliknya mahu jurulatih tempatan segera mengubah kaedah serta etika kerja ketika latihan kepada ekosistem yang lebih moden dan terkini.

Katanya, kegagalan pasukan bola sepak kebangsaan bersaing di pentas antarabangsa serta kualiti Liga Malaysia (Liga-M) yang rendah disebabkan kebanyakan jurulatih tempatan masih mengamalkan teknik lama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Persatuan Negeri (FA) diakuinya gagal berfungsi.

“Kalau latihan masih ikut cara gua atau duduk dalam gua, macam mana bola sepak kita mahu naik. Mahu tahu kenapa, ianya sebab jurulatih kita di Malaysia kebanyakan masih tidak menukar cara latihan mereka kepada bola sepak moden.

“Kalau bola sepak dijaga FA dengan baik tak mungkin kita akan jadi begini. Dalam aspek pembangunan itu sendiri banyak kerja dan ianya bukan senang. Malah kami di PPBN pun tidak cakap banyak.

“Kamu mesti faham, misalnya di Iceland mereka cuma ada 300,000 orang sahaja tetapi bagaimana mereka boleh masuk ke pusingan akhir EURO 2016 di Perancis tahun depan. Mereka juga tidak ada liga profesional.

“Jadi, bagaimana mereka boleh layak? Kemenangan bukannya boleh dapat dengan hanya memetik jari, tetapi perlukan pembangunan dan kerja keras semua pihak,” katanya.

Jelas bekas jurulatih akademi Bayern Munich itu, kenyataan pedasnya sebelum ini sekadar pandangan peribadi yang tidak mengaitkan mana-mana individu.

“Kalau saya bongkak, apa mereka susah. Saya sudah 12 tahun di Bayern Munich dan saya bercakap berdasarkan pengalaman. Lagipun sebelum ini, saya tidak sebut langsung nama sesiapa pun, saya cakap secara am.

“Mungkin saya juga tujukan kepada jurulatih di bawah seliaan PPBN sejumlah 700 lebih jadi mengapa pula mahu terasa,” katanya.

Sumber

– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97677#sthash.58uiineu.dpuf