Jurulatih Baru Barcelona Telah Diketahui, Bintang Manchester United Jadi Sasaran Utama

Eikrem 2 bulan yang lalu

Juara Copa Del Rey, Barcelona, akhirnya mengumumkan jurulatih barunya untuk musim depan, Ernesto Valverde – yang juga bekas ketua jurulatih bagi pasukan Athletic Bilbao.

Presiden kelab, Josep Bartomeu berkata perlantikan Valverde ini adalah lambang “era baru sudah bermula”.

Sebagai rekod, Valderde, berusia 53 tahun, merupakan bekas pemain Barcelona dan pernah membantu kelab biru merah ini memenangi Copa Del Rey dan Piala Cup Winner’s Cup sepanjang dua tahun berkhidmat untuk kelab Catalonia tersebut dari tahun 1988 sehingga 1990, di bawah tunjuk ajar Johan Cruyff.

Valverde selaku jurulatih Bilbao | Gambar : FFA

Selepas Barcelona, Valverde bermain selama enam musim buat Athletic Bilbao.

Sejak bulan Mac lalu, Barcelona dengan giat mencari ketua jurulatih yang baru selepas Luis Enrique mengumumkan bahawa dia tidak akan menyambung kontraknya yang akan tamat pada musim panas ini, selepas tiga tahun memegang jawatan yang paling menyeksa di dunia tersebut.

Perlawanan terakhir Barcelona bersama Enrique adalah perlawanan akhir Copa Del Rey yang menyaksikan Barcelona dengan bersahaja menewaskan Alaves 3-1.

Selepas ini Enrique dijangka akan bercuti selama setahun – sama seperti yang dilakukan oleh Pep Guardiola satu ketika dahulu.

Nampak sangat jawatan ketua jurulatih Barcelona ni adalah kerja yang paling stress.

Sebaik pencen sebagai pemain bola sepak, Valverde mula mengembangkan sayap sebagai jurulatih di Espanyol, Olympiacos, Villareal dan Valencia, sebelum menuju ke utara Sepanyol untuk bersama kaum Basque di Bilbao.

Walaupun hanya akan dipersembahkan secara rasmi pada hari Khamis ini, Valverde dikatakan sudah mempunyai sasaran utamanya pada jendela perpindahan musim panas nanti untuk kembali memperkuatkan Barcelona yang pada musim ini layu bagai pohon ketapang di musim kemarau.

Pemain yang menjadi sasaran utama Valverde tidak lain tidak bukan Ander Hererra – pemain tengah Manchester United yang pernah dilatihnya semasa di Bilbao.

Ander Hererra bersama Bibao | Gambar : Independent

Hererra muncul sebagai tonggak utama United pada musim ini dengan membantu kelab Syaitan Merah tersebut memenangi Piala EFL dan juga Liga Europa.

Hererra juga telah diundi oleh para penyokong sebagai pemain terbaik kelab pada musim ini, mengenepikan rakan senegara David De Gea yang memegang takhta tersebut selama tiga tahun berturut-turut, dan juga pemain termahal dunia merangkap pakar dab, Paul Pogba.

Kontrak Hererra bersama United akan tamat pada musim panas 2018, dan dia telah mencuri hati beberapa kelab ternama dunia untuk membelinya, tambahan pula dia adalah pemain yang cukup rajin di atas padang, selain mampu mengunci pergerakan perancang utama pasukan lawan, seperti mana yang telah dilakukannya ke atas Eden Hazard tempoh hari,

Selaku seorang pengurus yang berkarisma dan berdaya saing, Jose Mourinho sedar akan situasi kontrak Hererra ini dan dia dikatakan telah menawarkan lanjutan kontrak baru selama tiga tahun, dengan gaji sebanyak £120,000.

Tak pasti Hererra terpesona atau tidak dengan nilai ini sedangkan Wayne Rooney dibayar £300,000 seminggu untuk memastikan bangku simpanan United berpenghuni.

Hererra muncul tonggak utam United musim ini | Gambar : ESPNFC

Namun khabar angin yang kencang bertiup di England mengatakan bahawa Hererra sudah meminta proses rundingan kontrak barunya dipercepatkan dan dia sudah bersedia untuk bermain dengan United untuk tempoh yang lebih lama.

Walaubagaimanapun, hubungan baik Hererra dengan Valverde tidak boleh dipandang enteng memandangkan mereka berdua saling berhubung untuk merisik khabar mendengar cerita selepas Hererra terbang ke Manchester.

Hererra boleh menjadi pengganti yang ideal kepada Andres Iniesta yang dikatakan bakal bersara atau meninggalkan La Blaugrana pada musim depan.

Gaya permainan kedua-dua pemain ini hampir sama, lagipun jika Hererra berhasrat untuk mewakili Sepanyol, dia perlu menyarung jersi kelab Catalonia tersebut atau kelab dari Castille terlebih dahulu.

Pada musim panas tahun lalu, Barcelona telah membeli Andre Gomes dan Denis Suarez untuk memberi saingan kepada pemain yang sedia ada di bahagian tengah, namun kedua-dua pemain ini gagal menyinar dan dijangka akan meninggalkan Nou Camp pada musim panas nanti.

Ini bermaksud, Valverde perlu mencari pemain yang benar-benar bakal memperkuatkan lagi pasukan yang sudah tersedia kuat ini, bukan sekadar pemain yang melengkapkan jumlah pemain dalam pasukan.

Sumber berita : 90Min, Mirror