Julian Nagelsmann Jurulatih Terbaik Bundesliga 2016, Baru Berusia 29 Tahun

Eikrem 4 bulan yang lalu

Jurulatih TSG Hoffenheim, Julian Nagelsmann telah dianugerahkan sebagai Jurulatih Terbaik Jerman 2016, dan usianya baru sahaja 29 tahun. Nagelsmann juga merupakan jurulatih termuda di Bundesliga dan mula menjadi ketua jurulatih Hoffenheim sejak musim 2015-16, di mana dia telah menyelamatkan pasukan dari Baden-Württemberg itu daripada tersingkir ke divisyen dua.

Nagelsmann – muda tapi ilmu penuh di dada.

Pada musim ini, Hoffenheim berada di tangga keempat, selepas 25 perlawanan, satu mata di belakang Borussia Dortmund dan berentap untuk mendapatkan slot ke Liga Juara-juara musim depan. Disebabkan prestasi cemerlangnya, Nagelsmann digelar sebagai ‘Mini Mourinho’ oleh penjaga gol Hoffenheim, Tim Wiese – yang jauh lebih tua daripadanya.

Bagak juga Tim Wiese

Nagelsmann memulakan karier kejurulatihannya bersama Hoffenheim dengan menguruskan pasukan bawah-17 tahun dan bawah-19 tahun kelab tersebut, dan pada masa yang sama dia dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan utama kepada Huub Stevens.

Stevens walaubagaimanapun mengalami masalah kesihatan pada Februari 2016 dan Nagelsmann terus dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih.

Dalam saingan Bundesliga pada musim ini, Hoffenheim hanya tewas dua kali, dan kekalahan pertamanya hadir pada 29 Januari 2017 – enam bulan selepas liga bermula, kepada pasukan kaya, RB Leipzig.

Nagelsmann, ketika usia pensabunan, bermain untuk kelab 1860 Munich dan Augusburg, sebelum kecederaan lutut yang melarat menamatkan kariernya sebagai seorang pemain.

Antara jurulatih yang pernah memenangi anugerah ini ialah Thomas Tuchel, jurulatih Dortmund sekarang, dan jurulatih pasukan bawah-21 Jerman, Horst Hrubesch.

Amat menarik untuk melihat bagaimana seorang anak muda mampu mencapai tahap setinggi ini, meskipun dia terpaksa menguruskan pemain yang jauh lebih tua darinya. Ternyata pengetahuannya yang tinggi dalam bidangnya, menghadirkan hormat daripada anak buahnya.

Agaknya kalau dia datang ke Malaysia, mungkin dia akan dapat “aku makan garam lebih dulu dari kau lah”. Mungkin.

Kalau anda nak belajar serba sedikit tentang taktik dan formasi Nagelsmann, boleh tengok di sini.

Sumber berita : Daily Mail