John Terry Sah Akan Tinggalkan Chelsea

Eikrem 3 bulan yang lalu

Orang putih selalu berkata every good thing must come to and end – setiap perkara indah pasti akan berakhir, begitu jugalah di Chelsea. Kapten Chelsea, John Terry telah mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan kelab London tersebut pada hujung musim ini, selepas lebih dua dekat berbakti kepada pasukan yang digelar The Blues tersebut.

Sejak melakukan debut pada tahun 1998, John Terry telah bermain sebanyak 713 kali buat Chelsea, dan 578 daripada jumlah tersebut Terry bermain sebagai kapten, jumlah ini meletakkannya di tangga ketiga penampilan terbanyak buat Chelsea, di belakang Ron Harris dan Peter Bonetti. Terry juga telah menjaringkan 66 gol setakat ini – satu jumlah yang besar bagi seorang pertahanan.

Menurut Terry, dia sebenarnya masih mampu bermain, tetapi peluang untuknya bermain menjadi terhad pada musim ini selepas mengalami kecederaan pada awal musim, di samping sistem permainan Antonio Conte yang lebih sukakan tiga pertahanan tengah – Gary Cahill, David Luiz dan Cesar Azpilicueta, dan diapit Marcos Alonso dan Victor Moses di kiri dan kanan.

Walaupun jarang bermain pada musim ini, Terry masih lagi memegang rekod sebagai pemain yang paling banyak memenangi medal di Chelsea di mana dia telah memenangi kesemua pertandingan peringkat kelab yang disertainya, iaitu ;

4 Liga Perdana Inggeris

5 Piala FA

3 Piala Liga

1 Liga Juara-juara

1 Liga Europa

Terry juga turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam membantunya sepanjang dia berada di Chelsea.

Katanya,” Selepas 22 tahun, ada banyak benda yang boleh diceritakan dan aku ucapkan terima kasih kepada semua orang di kelab yang hebat ini. Daripada jurulatih, rakan sepasukan, makcik kantin, staf dan juga penyokong yang tidak putus-putus memberikan sokongan selama bertahun-tahun, aku tak tahu nak ucap terima kasih macam mana.

“Aku akan bercakap lagi berkenaan benda ni dalam masa beberapa minggu lagi.

“Aku juga akan membuat keputusan tentang masa depan aku secepat mungkin, tapi pada masa yang sama aku masih lagi komited untuk membantu pasukan ini  mencapai kejayaan pada musim ini.

“Hubungan aku dengan kelab sentiasa fantastis, dan akan terus fantastis selepas aku tidak lagi berada di sini. Kami ada banyak benda positif untuk dibincangkan tapi setelah mengambil kira semua faktor, aku rasa sekarang ialah masa yang sesuai untuk aku bersara.

“Aku selalu berfikir untuk meninggalkan kelab ini pada masa yang tepat, dan cara yang betul dan aku rasa hujung musim ini adalah masa yang sesuai untuk aku dan kelab berpisah.

“Sebenarnya aku masih lagi boleh berbakti, tapi peluang di Chelsea agak terbatas la. Aku pun rasa nak main lagi dan aku akan cari peluang dan cabaran baru di tempat lain lah. Tapi apapun, aku tetap seorang Blue dan aku nak musim terakhir aku ni berakhir dengan aku dapat medal lagi.

“Akhir sekali, tiada kata dapat aku ungkapkan untuk menyatakan cinta aku kepada kelab ini, dan juga kepada penyokong Chelsea yang hebat.

“Sekali lagi aku nak ucapkan terima kasih ikhlas dari hati nurani aku ni di atas sokongan yang menakjubkan selama ini kepada para penyokong, termasuklah yang berada di Alor Gajah, Simpang Pulai, Jalan Kuchai Lama dan Felda Sungai Koyan.

“Engkorang memang segalanya buat aku dan setiap trofi yang aku menangi sepanjang karier aku adalah kemenangan kita bersama. Cuma duit kemenangan tu duit aku.

“Aku tak akan lupakan pengembaraan kita yang cukup indah selama ini. Terima kasih di atas segalanya,” kata Terry dalam satu kenyataan rasmi di laman web Chelsea.

Akaun Twitter rasmi Chelsea telah memuatnaik satu video tribute kepada lagenda mereka dan menceritakan kisah kapten yang paling agung dalam sejarah bola sepak kelab London ini.

Artikel diambil dan diolah dari Chelsea, BBC.