Joachim Low Ganti Zinedine Zidane di Real Madrid?

Eikrem oleh Eikrem 3 bulan yang lalu

Jurulatih Jerman, Joachim Low kini menjadi calon kegemaran lembaga pengarah Real Madrid untuk menggantikan Zinedine Zidane, jika dan hanya jika Real Madrid gagal memenangi sebarang piala pada musim ini.

Zidane kini berada dalam tekanan setelah pasukan kendaliannya ditewaskan oleh Lionel Messi pada minit-minit akhir perlawanan El Classico pada hari Ahad lalu, dan menyebabkan pasukan ibu negara Sepanyol ini terjatuh ke tangga kedua La Liga di belakang Barcelona.

Low dikatakan sangat disukai oleh presiden kelab, Florentino Perez, walaupun Piala Dunia pada tahun depan boleh menjadi penghalang kepada hasrat yang tidak berapa murni Perez ini.

Rekod Low bersama Jerman tidak perlu dipertikaikan lagi. Juara Piala Dunia 2014 di Brazil dan layak ke separuh akhir Kejohanan Eropah pada musim panas tahun lalu membuktikan Low sebenarnya adalah antara jurulatih terbaik di dunia.

Walaupun suka makan tahi hidung sendiri, Low cukup bijak dalam taktikal bola sepak.

Menurut media Sepanyol, AS, kekalahan 2-3 Real Madrid terhadap seteru utama La Liga membuatkan reputasi Zidane merudum di mata pemimpin-pemimpin kelab dan tanpa kejuaraan pada tahun ini bermakna masa depan Zidane bersama kelab tersebut juga akan menjadi gelap.

Selain La Liga, para pengarah Real juga mahukan pasukannya layak ke perlawanan akhir Liga Juara-juara dan mengulangi kejayaan pada musim lalu di Milan. Zidane hanya baru memulakan tugas sebagai jurulatih Real Madrid pada Januari tahun lalu tetapi berjaya membawa pasukan berbaju putih ini muncul sebagai juara eropah dalam masa yang singkat.

Lagi pula, status Zidane sebagai lagenda kelab ini membuatkannya sangat dekat di hati penyokong baik di Sepanyol ataupun di Kulaijaya, Temerloh ataupun Manek Urai.

Jurulatih Chelsea, Antonio Conte dan jurulatih Tottenham, Mouricio Pochettino dikatakan turut dibawa ke tengah untuk tugas ini namun Low dilihat mempunyai peluang yang lebih cerah.

Real Madrid sememangnya dikenali sebagai pasukan yang sering menukar jurulatih mereka jika mereka gagal memenangi sebarang piala walaupun dalam satu musim. Antara jurulatih yang pernah dipecat dalam tempoh 10 tahun ini ialah Jose Mourinho, Rafa Benitez, Carlo Ancelotti dan juga Manuel Pellegrini dan sejak tahun 2000, Real Madrid telah mempunyai seramai 14 orang jurulatih. Ramai tu.

Sasaran utama Real Madrid pada setiap musim adalah memenangi satu piala dan tidak tewas kepada satu-satunya lawan mereka di La Liga, Barcelona. Pasukan yang lain dalam La Liga tu boleh dianggap sebagai pelengkap jadual sahaja.

Sumber berita : Daily Mail Sports


Share Tweet


Paparkan Komen