Jesus Kecewa Tidak Dibenarkan Mengambil Sepakan Penalti

Izuddin oleh Izuddin 1 tahun yang lalu

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola secara peribadi telah meminta maaf kepada Gabriel Jesus kerana tidak membenarkan pemain tersebut mengambil sepakan penalti ketika Manchester City seri tanpa jaringan menentang Liverpool awal pagi tadi.

Dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang berlangsung di Anfield, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan The Citizens dilihat mempunyai lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol. Liverpool boleh dikatakan bernasib baik kerana beberapa kesalahan yang dilakukan Virgil van Dijk dan Dejan Lovren dalam kotak penalti tidak dihukum pengadil perlawanan.

Mendy, aku nak Mahrez amik penalti. Jangan bagi budak Jesus tu

Namun begitu, ketika perlawanan memasuki fasa terakhir, Leroy Sane berjaya memperolehi sepakan penalti selepas Virgil van Dijk  menjatuhkan pemain tersebut dalam kotak penalti.

Memandangkan pengambil sepakan penalti utama City iaitu Sergio Aguero sudah berada di bangku simpanan, Gabriel Jesus meluahkan hasratnya untuk mengambil penalti berkenaan. Penalti tersebut sangat penting kerana ia mampu memberi kemenangan pertama buat The Citizens di Anfield sejak tahun 2003 dan memberi kelebihan berharga dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Walau bagaimanapun, hajat Jesus untuk mengambil penalti tersebut disekat Guardiola. Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu memberi arahan menerusi Benjamin Mendy yang mana Riyad Mahrez akan mengambil sepakan penalti berkenaan.

Malang buat Guardiola kerana sepakan penalti yang diambil pemain termahal City itu melewati palang gol dan City terlepas peluang keemasan untuk meraih 3 mata menentang pencabar utama liga. Untuk rekod, Mahrez kini gagal menyempurnakan 5 dari 8 sepakan penalti yang diambilnya sebelum ini.

Tidak... apa yang telah aku lakukan

Walaupun berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris ketika ini, Manchester City kini berkongsi mata dengan Chelsea dan Liverpool yang mana masing-masing memiliki 20 mata selepas 8 perlawanan.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Guardiola berkata beliau akan memohon maaf kepada Jesus atas kejadian tersebut.

"Ketika sesi latihan setiap hari, saya melihat Mahrez mengambil sepakan penalti berkali-kali dan ia memberikan saya keyakinan. Ini merupakan pengalaman yang bagus buat Mahrez. Saya yakin sepakan penalti Mahrez selepas ini akan masuk."

"Jesus mahu mengambil sepakan penalti tersebut. Saya memohon maaf atas apa yang berlaku kerana ia merupakan keputusan saya."

Jesus yang turut ditemuramah wartawan selepas perlawanan berakhir berkata beliau tidak gembira kerana tidak dibenarkan mengambil penalti tetapi akan tetap menyokong setiap keputusan Guardiola.

Terlajuk perahu boleh diundur, terlajak basikal lajak buruk padahnya

"Sudah tentu saya tidak gembira. Sama seperti Mahrez, saya juga berlatih mengambil sepakan penalti."

"Saya mahu mengambil sepakan penalti tersebut, saya sangat yakin. Saya tidak gembira apabila jurulatih tidak membenarkan saya mengambilnya. Walau bagaimanapun, perkara paling penting sekali adalah kami tidak tewas perlawanan tadi."

"Pep ada bercakap dengan saya. Ini merupakan sebahagian daripada bola sepak, perkara macam ini akan berlaku. Saya akan tetap menyokong Mahrez sekiranya jurulatih memilih beliau lagi."



Paparkan Komen