The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Jersi Kelantan Mampu Putihkan Kulit – DSV

Encik Bakri pada February 10, 2016

KOTA BHARU: Empat jersi jenama DSV (Datuk Seri Vida) yang akan dilancarkan esok, bukan sekadar rekaan semata-mata tapi turut mempunyai kelebihan dari segi kesihatan apabila benang pakaian itu direka khas untuk kurus dan berkulit putih.

Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, berkata beliau mahu jersi yang dipakai pemain dan penyokong turut mempunyai fungsi kesihatan, bukan hanya mempamerkan rekaan semata-mata seperti jersi lain.

Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida berkata, benang yang direka khas itu dihasilkan kilang di tiga negara iaitu China, Thailand dan Vietnam dengan menggunakan teknologi terkini untuk pembangunan baju itu.

“Keempat-empat jersi yang bakal dilancarkan bagi edisi pertama ini mempunyai fungsi perangkap peluh dan mampu memutihkan kulit.

Apabila saya mahu lakukan sesuatu, saya suka memandang ke hadapan dan biarlah hasilnya memberi manfaat kepada semua.

“Jersi ini bermula daripada benang yang mana ia turut berfungsi melancarkan perjalanan darah kepada pemakai selain menghasilkan kelembapan daripada peluh pada badan, sekali gus mampu membakar lemak. Proses mengeringkan peluh itu akan menjadikan kulit putih seolah-olah baharu saja selesai sauna.

“Saya sudah lama membuat rekaan benang ini bagi menghasilkan produk baharu untuk kurus dan putih. Tapi alang-alang mahu reka jersi, jadi saya terus aplikasikan kelebihan ini kepada rekaan jersi skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW),” katanya.

BH sebelum ini melaporkan tanda tanya kalangan penyokong Kelantan mengenai gambaran sebenar empat rekaan jersi jenama DSV akan terjawab menerusi pelancarannya esok.

Pengasas Vida Beauty Qu Puteh itu berkata, syarikatnya akan mengeluarkan dua versi bagi keempat-keempat rekaan iaitu ‘versi eksklusif’ dan ‘versi penyokong’ dengan pengeluaran sebanyak 20,000 helai untuk edisi pertama.

Daripada empat rekaannya itu, jersi berwarna tradisi Kelantan merah-putih serta merah jambu-putih akan digunakan bagi perlawanan di laman sendiri sementara warna merah jambu-hitam dan biru-putih akan digunakan PQPTRW di tempat lawan.

Mengulas lanjut, Dr Vida yang juga Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata beliau yakin fungsi jersinya tidak akan mudah ditiru mana-mana pihak sebaik saja ia dilancarkan nanti.

“Majlis pelancaran yang diadakan nanti pasti memberi kejutan luar biasa kepada orang ramai, seolah-olah jersi ini turun daripada angkasa lepas. Harga yang ditawarkan mampu milik bagi membolehkan semua orang dapat memilikinya,” katanya.

Sumber: Berita Harian