The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Jawatan Mourinho Kembali Dinilai Lembaga Pengarah Chelsea

Encik Bakri pada October 27, 2015

LONDON: Kurang tiga minggu selepas pemilik Chelsea, Roman Abramovich menyuarakan sokongannya terhadap pengurus, Jose Mourinho, jawatan pengendali itu dilaporkan kembali dinilai Lembaga Pengarah Chelsea.

Chelsea dipercayai memberi ruang kepada pengurus kelahiran Portugal itu sehingga pertembungan Piala Liga bertemu Stoke City dan Liverpool dalam kempen liga, minggu ini sebelum mengetahui nasibnya.

Kedudukan Mourinho goyah selepas kekalahan 2-1 mengejutkan Chelsea kepada West Ham, Sabtu lalu yang juga kekalahan kelima penyandang juara itu daripada 10 perlawanan liga, musim ini.

Keputusan perlawanan Piala Liga bertemu Stoke dijangka tidak memberi kesan kepada kedudukannya namun kekalahan kepada skuad bimbingan Jurgen Klopp pada Sabtu nanti dikatakan menjadi penentu kepada nasibnya di Stamford Bridge.

Akhbar di England melaporkan segala-galanya kini tidak memihak Mourinho selepas kelab itu tewas kepada West Ham di Upton Park dan menghuni kedudukan ke-15 liga.

Beberapa pakej pampasan terhadap Mourinho dikatakan sudah dibincangkan bos-bos kelab dari London itu.

Mourinho menandatangani kontrak empat tahun bersama The Blues dengan nilai STG30 juta (RM195.55 juta) pada Ogos namun Chelsea dikatakan berat untuk membayar jumlah yang penuh andai memecatnya.

Dalam pada itu, pengganti berpotensi bagi Mourinho juga dipercayai sudah dikenal pasti dengan kelab itu sudah pun menghubungi beberapa pengurus berprofil tinggi.

Antara pilihan utama bagi jawatan itu secara sementara ialah Carlo Ancelotti yang difahamkan berminat untuk kembali ke Stamford Bridge selain Guus Hiddink.

Bagi jawatan tetap, pengurus Bayern Munich, Pep Guardiola dan Atletico Madrid, Diego Simeone antara pilihan selepas dikatakan tidak lagi terikat pada mana-mana kelab, musim panas depan. – AGENSI


Download aplikasi The Sukan di Google Play