The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Jawapan FAM Kepada TMJ Berhubung Bayaran Hak Penyiaran

Encik Bakri pada October 21, 2015

Penasihat Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilaporkan meminta FIFA menyiasat FAM kerana didakwa gagal menangani masalah rasuah dan melunaskan hasil bayaran hak penyiaran kepada kelab terbabit liga tempatan.

Baca : FAM Tidak Perlu Disiasat Oleh FIFA

Ekoran dakwaan itu Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ini kerana dakwaan kononnya persatuan itu gagal menangani korupsi dan menyimpan pendapatan hasil perolehan adalah sesuatu yang tidak berasas.

“FAM sebenarnya sudah pun menjalani program penambahbaikan dalam aspek pentadbiran dan pengurusan termasuk pengurusan kewangan dengan mengambil kira usaha mengoptimumkan peluang komersial yang juga intipati utama dalam Program Prestasi FIFA,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook FAM sebentar tadi.

Pecahan peratusan pengagihan hasil perolehan Liga Malaysia (Liga-M) mulai musim 2016 sebenarnya baru di peringkat cadangan yang telah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersidang sebelum ini.

Namun jumlah peratusan sebenar pecahan peratusan berkenaan masih belum diputuskan atau dimuktamadkan sepenuhnya kerana FAM masih dalam proses untuk menetapkannya.

Mengikut cadangan yang diumumkan sebelum ini, 30 peratus diagihkan kepada pasukan-pasukan bertanding, 20 peratus kepada Football Malaysia LLP (FMLLP) untuk kos operasi dan pengurusan pertandingan, 10 peratus untuk tujuan pembangunan bola sepak termasuk pengadilan, kejurulatihan dan pemain.

Baki selebihnya iaitu 40 peratus kekal menjadi hak milik FAM selaku pemegang hak milik intelektual Liga-M.

Jumlah hasil perolehan sebanyak RM70 juta setahun adalah jaminan pulangan yang dinyatakan oleh MP Silva yang mana jumlah berkenaan sebenarnya turut boleh melebihi daripada itu jika mereka berjaya mendapatkan hasil komersial yang lain.

Jadi mengapa FAM perlu mendapat 40 peratus daripada hasil pecahan pengagihan hasil perolehan Liga-M itu?

Ini kerana FAM pada dasarnya memerlukan purata RM70 juta sebagai perbelanjaan tahunan persatuan bagi menguruskan pasukan-pasukan kebangsaan dari peringkat remaja hingga senior termasuk skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda serta menganjurkan pertandingan-pertandingan tempatan seperti Liga FAM, Piala Presiden, Piala Belia, Liga Futsal Kebangsaan, Piala Tun Sharifah Rodziah dan sebagainya.

Selain itu, peruntukan turut diperlukan FAM untuk menjalankan operasi sehariannya di Wisma FAM, Kelana Jaya merangkumi kos penggajian kakitangan termasuk juga para jurulatih dan tenaga teknikal yang lain.

Jadi berdasarkan hasil perolehan sebanyak RM70 juta setahun itu, FAM hanya akan mendapat RM28 juta yang mana FAM sebenarnya perlu mencari baki RM42 juta lagi untuk menampung perbelanjaan tahunannya berjumlah sekitar RM70 juta itu.

Asas cadangan untuk mengagihkan perolehan ini hampir menyerupai konsep yang diamalkan oleh FIFA dalam mengagihkan hasil perolehan daripada penganjuran Piala Dunia.

Jika dibandingkan dengan hasil pendapatan keseluruhan daripada Piala Dunia 2014 di Brazil iaitu AS$4.8 bilion, pasukan-pasukan bertanding hanya berkongsi pecahan perolehan sebanyak 13 peratus iaitu kira-kira AS$628 juta.

Kesemua negara ahli gabungan FIFA pula hanya berkongsi pecahan perolehan sebanyak 5.5 peratus iaitu kira-kira AS$268 juta. Secara keseluruhan, pasukan bertanding akan mendapat 18.5 peratus pecahan perolehan.

Bagi FIFA pula, perolehan bersih yang diterima mereka ialah sebanyak AS$2.6 bilion selepas ditolak kos perbelanjaan keseluruhan AS$2.2 bilion iaitu kira-kira 54 peratus daripada jumlah hasil pendapatan keseluruhan Piala Dunia 2014 sebanyak AS$4.8 bilion.

Sehubungan itu, pecahan perolehan yang dicadangkan FAM adalah wajar dan bersesuaian jika dibandingkan dengan keadaan semasa termasuk apa yang dilakukan FIFA dalam menetapkan pecahan perolehan Piala Dunia 2014.


Download aplikasi The Sukan di Google Play