The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Isu Syahrul Azwari : Sarawak Bakal Di Denda FAM

Encik Bakri pada December 22, 2015

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) bakal berdepan tindakan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika enggan membatalkan kontrak ditandatangani bekas pemain Harimau Muda, Syahrul Azwari Ibrahim bersama persatuan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, bukan FAS sahaja, malah pemain kelahiran Kelantan itu juga boleh dikenakan hukuman berdasarkan Artikel 22, status perpindahan pemain bola sepak Malaysia.

“Saya menasihati Sarawak agar membatalkan kontrak pemain itu jika sudah ditandatangani. Kalau tidak, Jawatankuasa Status Pemain boleh mengambil tindakan, begitu juga pemain itu boleh digantung FAM.

“Semua persatuan bola sepak negeri, perlu mematuhi peraturan dan kontrak pemain demi menjaga keharmonian di antara satu sama lain.

“Nasihat saya, Kafa perlu membuat laporan rasmi kepada Jawatan Kuasa Status pemain bagi membolehkan FAM mengambil tindakan seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Takiyuddin berkata, peraturan menjelaskan apabila seseorang pemain Harimau Muda dibebaskan, pemain itu dikehendaki kembali berkhidmat dengan ahli gabungan, di mana kali terakhir terlibat dengan aktiviti bola sepak sebelum diambil FAM.

Menurutnya, seseorang pemain bertanggungjawab untuk kembali ke negeri asal manakala persatuan bola sepak negeri juga perlu mematuhi peraturan berhubungan pembayaran gaji kepada pemain skuad pelapis kebangsaan itu.

“Dalam kes Syahrul Azwari, saya mengesahkan dia kena balik semula ke Kelantan. Kita lihat dia memulakan karier bola sepaknya bermula tingkatan satu hingga tiga di negeri itu.

“Apabila dia kembali dan jika Kafa mahu mengikat pemain itu, Kafa kena bayar gaji dengan kenaikan minimum tambahan sebanyak 30 peratus daripada gaji terakhir diterimanya ketika bersama skuad Harimau Muda itu,” katanya.

Menurutnya, sekiranya Kafa berjaya memenuhi syarat tersebut, bererti Syahrul Azwari dikehendaki bermain bersama Kelantan untuk tempoh minimum satu musim.

“Namun jika Kelantan gagal patuhi syarat itu dan Sarawak pula nak khidmat Syahrul Azwari, maka pemain itu mesti berunding untuk mendapat pelepasan pihak Kafa,” katanya.

Sementara itu, Syahrul Azwari ketika dihubungi enggan mengulas lanjut perkara tersebut, sebaliknya memberitahu dia hanya mahu fokus terhadap karier bola sepaknya.


Download aplikasi The Sukan di Google Play