Hujah Dan Pandangan Menolak Pembubaran Piala FA

Seladang Tacts Amirul oleh Seladang Tacts Amirul 3 minggu yang lalu

Beberapa hari lepas, FAM telah mengumumkan cadangannya untuk membubarkan Piala FA dan juara Piala Malaysia diberikan slot ke Piala AFC. Saya agak kurang bersetuju dengan cadangan sedemikian. Kenapa?

Tuan Zuraimi Zukri pernah mengeluarkan satu artikel tentang bilangan perlawanan yang harus ditempuhi sesebuah pasukan di Liga Super/Liga Perdana dalam saingan domestik bagi satu-satu musim. Jumlahnya adalah seperti berikut :

Jumlah keseluruhan perlawanan yang perlu dilalui sesebuah pasukan Liga Super/Liga Perdana = 22 (Liga) + 8 (Piala FA) + 11 (Piala Malaysia) = 41 perlawanan.

Jumlah anggaran sebuah pasukan bawahan Liga Super atau pasukan berkedudukan 6-12 Liga Perdana = 22 (Liga) + 2 (Piala FA) + 0 (Piala Malaysia) = 24 perlawanan.


Setahun ada 52 minggu (12 bulan), tolak cuti pra-musim dan bulan Ramadhan (4 bulan = 16 minggu), ada baki 36 minggu. 36 minggu didarabkan dengan 2 hari perlawanan (Selasa & Jumaat/Sabtu) bersamaan dengan 72 hari perlawanan.

Menjawab Isu : Isu Kepadatan Jadual & Piala 'Tanpa Fungsi'

Apa yang saya cuba terangkan ialah masih ada baki 31 hari perlawanan untuk sebarang agenda nasional untuk dilangsungkan (itupun jika pasukan itu benar-benar boleh melalui semua ceruk pertandingan domestik). Jadi, kenapa perlu bubarkan?

Jadual padat? Jadual padat disebabkan oleh kegagalan pihak FMLLP bagi menyusun atur jadual perlawanan piala domestik, selari dengan jadual yang disediakan AFC dan FIFA. Sukan SEA? Tidak pernah dibuat mana-mana liga di dunia untuk cuti semasa sukan bertaraf sub-benua.

Tiada fungsi dua piala dalam satu musim? Saya paling tidak setuju dengan alasan tersebut. Ada beberapa faktor yang membolehkan alasan ini ditolak :

1. Implementasi kouta pemain asing baharu (3 bebas + 1 Asia + 1 ASEAN)

Salah Satu Pasukan Dengan Pemain Asing Yang Paling Ramai Semusim Liga | Gambar : SPORTS247.MY

Apabila FAM mengumumkan penambahan dari segi kouta pemain asing tersebut, saya sudah nampak bagaimana sistem liga kita bakal berlangsung. Tiada pertumbuhan positif dalam liga, banyak bakat muda tempatan bakal ditindas.

Pada 11 Julai, Nelo Vingada juga pernah menyatakan kepada media bahawa beliau mencadangkan agar FAM-FMLLP memansuhkan kouta pemain asing supaya lebih ramai penyerang boleh dibangunkan.

Manakan tidak, semua pasukan di Malaysia sanggup berhabis wang untuk menanggung risiko pengambilan penyerang asing berbanding membangunkan potensi yang ada dalam diri penyerang muda tempatan. N. Thanabalan sudah membuktikan dia wajar diberikan tempat dalam pasukan menerusi aksinya yang baik semasa bersama skuad B-23 kebangsaan.

Percaya atau tidak, implementasi kouta pemain asing baharu ini bakal membuatkan jurulatih pasukan Liga-M tidak senang duduk untuk mencari pemain asing yang mereka mahu dan meningkatkan kekuatan sementara pasukan serta kos operasi mereka. Liga Malaysia menuju ke arah kehancuran kalau berterusan begini!

Jadi, satu-satunya cara bagi membangunkan pemain tempatan adalah dengan sistem 'rotation' dalam pasukan semasa Piala Malaysia berlangsung. Kalau jurulatih sesuatu pasukan itu tidak berbuat sedemikian, itu masalah mereka sendiri yang 'membunuh' bakat tempatan.

2. Minit Perlawanan

Mesut Ozil juga banyak mengutip minit perlawanan walaupun sebagai pemain gantian | Gambar : Blog Tao Tau Ajer

Minit perlawanan merupakan sesuatu yang sangat penting bagi seseorang pemain bola sepak. Hal ini demikian kerana kecergasan dan prestasi semasa pasukan dinilai menerusi minit permainan yang dikumpul secara kumulatif.

Minit perlawanan dapat dikumpulkan menerusi jumlah perlawanan yang mereka lalui semusim bola sepak. Sebagai contoh, Afiq Azmi merupakan penyerang yang tidak ternama semasa beliau bermain untuk Perlis dahulu. Apabila dipinjamkan ke Kelantan, namanya terus meningkat naik. Kenapa?

Dengan kelebihan fizikal yang beliau miliki, minit perlawanan yang cukup baik dan prestasinya yang naik mendadak semasa mewakili Kelantan, beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang penjaring terbanyak kejohanan ketika itu. Masuk Selangor, kurang minit perlawanan diperolehi dan hilang!

Inilah sebab mengapa kedua-dua piala masih relevan untuk dipertandingkan. Minit perlawanan menjadi kunci kepada prestasi semasa pemain dan boleh meningkatkan semula nama seseorang pemain jika bermain dengan baik.

2 faktor ini merupakan sebab mengapa alasan "ketiadaan fungsi piala tersebut" tidak boleh digunapakai dalam keadaan semasa Liga Malaysia. Kita perlu meningkatkan jumlah perlawanan, bukannya kurangkan.

Mencari Solusi - Piala Malaysia + Syarat Tambahan?

Piala Tertua Di Asia Tenggara | Gambar : Goal.com

Namun, jika FAM tetap berkeras dengan cadangannya, hanya ada satu cara bagi menyelesaikan isu tersebut. Solusinya mudah; tidak perlu bubarkan piala tetapi tetapkan syarat pertandingan kepada salah satu piala tersebut.

Sebagai contohnya, FAM boleh menetapkan syarat berikut bagi pasukan yang mahu menyertai Piala Malaysia (contoh) :

" Kesemua 23 pemain yang didaftarkan mestilah pemain tempatan dan 5 pemain yang didaftarkan mestilah pemain yang berusia 21 tahun ke bawah."

Implikasinya, pemain tempatan bakal mendapat tempat untuk bermain (masalah minit perlawanan diselesaikan) dan pemain muda bakal dibangunkan secara progresif (masalah pembangunan pemain diselesaikan).

Ini hanyalah pendapat saya sahaja. Segala-galanya terletak di tangan FAM dan FMLLP bagi menentukan keputusan mereka. Saya menyokong agar salah satu piala domestik tidak dibubarkan atas sebab-sebab yang saya kemukakan di atas.

Jika anda mempunyai sebarang idea atau luahan yang mahu anda sampaikan, anda boleh menghantar artikel formal yang tidak melebihi 650 patah perkataan dan tidak menyentuh isu sensitif ke Hantar Artikel @ The Sukan. Majulah sukan demi negara!


Share Tweet


Paparkan Komen