Hazard Tidak Risau Dengan Statistik Buruk Beliau Musim Ini

Izuddin oleh Izuddin 5 bulan yang lalu

Pemain sayap Chelsea, Eden Hazard berkata beliau tidak risau dengan jumlah gol dan assist yang dicatatkannya musim ini kerana lebih pentingkan pasukan daripada pencapaian peribadi.

Statistik menunjukkan persembahan Hazard dalam Liga Perdana Inggeris merudum dengan teruk musim ini berbanding musim lepas ketika Chelsea memenangi liga.

Prestasi Hazard bagaikan langit dan bumi jika dibandingkan dengna musim lepas

Chelsea kini sedang mengharungi prestasi yang buruk dan mereka hanya mampu mencatatkan 3 kemenangan sahaja dari 11 perlawanan terakhir mereka dalam Liga Perdana Inggeris. Persembahan yang ditampilkan Hazard juga menerima kritikan dari segenap pihak kerana gagal membantu Chelsea mencabar kedudukan Top 4 di samping tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah di tangan Barcelona.

Pemain berusia 27 tahun ini gagal menjaringkan gol atau mencipta sebarang assist dalam 6 perlawanan terakhirnya. Dalam masa yang sama, Chelsea hanya mampu menang sekali sahaja, iaitu kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace pada Mac lalu.

Dalam satu temuramah eksklusif bersama Skysports, Hazard tidak terkesan dengan statistik buruk beliau musim ini dan percaya angka tersebut tidak menceritakan perkara sebenar yang berlaku kepada Chelsea.

"Tidak, saya tidak begitu menggemari statistik. Dalam dua bulan terakhir ini, saya tidak gembira dengan prestasi saya kerana prestasi pasukan tidak begitu bagus. Saya tidak bermain bolasepak demi kepentingan peribadi, saya bermain untuk pasukan."

Hazard bukan pemain yang pentingkan rekod peribadi

"Jika saya bermain baik tetapi pasukan tidak menang, saya tidak akan berasa gembira. Adalah lebih baik jika saya bermain buruk, dan pada penghujung perlawanan kami menang 1-0. Saya tidak begitu menggemari statistik. Asalkan saya berada di atas padang, saya akan berasa gembira."

"Jika ada peluang, saya akan menjaringkan gol dan mencipta assists. Tetapi apa yang lebih penting adalah saya berasa gembira di atas padang. Jika pasukan berjaya mencatatkan kemenangan, saya akan berasa gembira dan perkara sebaliknya berlaku sekiranya pasukan mengalami kekalahan."

Chelsea bakal berkunjung ke Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini. Kedua-dua pasukan sedang bergelut dengan masalah prestasi dengan The Saints berdepan risiko tersingkir dari liga sekiranya mereka gagal mengutip lebih banyak mata dalam baki 6 perlawanan.

Chelsea pula semakin jauh ditinggalkan Spurs dalam persaingan merebut slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Mereka kini ketinggalan 10 mata di belakang Spurs dan Liverpool, tetapi memiliki kelebihan 1 perlawanan ke atas Liverpool.

Buat Hazard, apa yang tinggal musim ini adalah Piala FA dan Piala Dunia musim panas nanti

Hazard berkata beliau masih lagi belum menyerah kalah dalam usahanya membantu Chelsea mengakhiri musim di kedudukan 4 teratas dan mahu rakan sepasukannya berjuang habis-habisan untuk memenangi kesemua baki perlawanan yang tinggal.

"Betul, ianya sukar untuk dilakukan tetapi boleh berlaku. Apa sahaja mampu berlaku dalam bolasepak. Jadi kami perlu terus percaya antara satu sama lain dan memenangi kesemua perlawanan selepas ini."

"Kami ada baki 6 perlawanan dalam liga. Jika kami menang kesemunya tetapi masih lagi gagal berada di kedudukan Top 4, paling kurang kami telah mencuba sebaik yang mungkin. Tiada apa yang perlu dikesalkan lagi selepas itu."




Paparkan Komen