Hazard Sudah Buat Keputusan Mengenai Masa Depannya Bersama Chelsea

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Penyerang Chelsea, Eden Hazard mengesahkan beliau telah membuat keputusan mengenai masa depannya, dan menguatkan lagi spekulasi yang mengatakan beliau akan meninggalkan Stamford Bridge dan berhijrah ke Real Madrid musim hadapan.

Pemain antarabangsa Belgium masuk sebagai pemain gantian ketika Chelsea sekadar seri tanpa jaringan menentang Leicester City dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris musim ini.

Peminat Chelsea terdesak mahu melihat Hazard terus kekal bersama kelab tersebut. Takkan nak harap Jorginho season depan

Perbincangan di antara Chelsea dan Real Madrid telah berjalan untuk satu tempoh yang lama tetapi pasukan dari West London itu tetap berharap Hazard akan menurunkan tandatangan bagi melanjutkan kontraknya di Stamford Bridge.

Kontrak Hazard akan tamat pada penghujung musim hadapan dan Chelsea tidak mahu kehilangan Hazard secara percuma apabila kontrak tamat kelak.

Chelsea dilaporkan meminta Real Madrid membayar €130 juta bagi mendapatkan pemain yang berbaki setahun dalam kontraknya, tetapi Chelsea mungkin perlu menurunkan sedikit permintaan mereka jikalau mahu menyaksikan perjanjian ini dapat direalisasikan.

Walau apa pon yang berlaku, Hazard tetap seorang biru !

Peminat Chelsea mungkin telah melihat Hazard beraksi buat kali terakhir dalam kancah Liga Perdana Inggeris ketika beliau masuk sebagai pemain gantian semalam. Dalam perlawanan sebelum ini, Hazard bermain cemerlang ketika Chelsea menumpaskan Watford sekaligus mengesahkan tempat mereka untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Apabila ditanya wartawan adakah kejayaan Chelsea mengesahkan tempat untuk beraksi di Eropah musim hadapan akan memberi kesan kepada masa depannya, Hazard berkata ia tidak membawa sebarang makna terhadap keputusan yang akan diambilnya tidak lama lagi.

"Tidak, saya tidak rasa begitu. Saya telah membuat keputusan, itu sahaja."

"Saya telah membuat keputusan tetapi masa depan saya bukan semata-mata terletak dalam tangan saya. Kami masih mempunyai satu final untuk diharungi dan kita akan lihat apa yang akan berlaku selepas itu."

"Saya sebenarnya mahu isu masa depan saya diselesaikan sebelum itu tetapi tidak dapat. Saya masih menunggu, sama sahaja seperti peminat yang sedang menunggu."

Selamat tinggal Hazard, semoga maju jaya di Real Madrid !

Musim ini menyaksikan Hazard melalui musim paling produktif sepanjang kariernya, dimana beliau berjaya menjaringkan 16 gol dan menghasilkan 15 assists. Beliau merupakan satu-satunya pemain Chelsa yang berjaya mencecah dua angka dari segi gol dan assist musim ini.

Kehilangan Hazard sudah tentu akan dirasai The Blues, tetapi seperti pepatah Melayu pernah berkata, patah tumbuh hilang berganti. Selamat maju jaya kepada Hazard !




Paparkan Komen