The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Harimau Malaysia Tak Rela Dimalukan Lagi

Rusdy Ahmad pada November 14, 2016

Harimau Malaysia Tak Rela Dimalukan Lagi

Selepas kalah mengejut kepada Papua New Guinea (PNG) dalam pertemuan terakhir, Jun lalu, Malaysia turun dengan misi enggan dimalukan lagi dan memburu kemenangan apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam esok.

Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee sedar, satu lagi kekalahan mampu menjejaskan moral pemainnya menjelang Piala AFF yang bermula di Myanmar, 20 November ini.

Tewas 0-2 kepada PNG dalam Siri Jelajah Oceania Jun lalu, Kim Swee mahu pertemuan kali ini digunakan untuk menyuntik semangat pasukan sebelum berlepas ke Yangon, Rabu ini.
“Sudah tentu nak menang. Itu tujuan utama kami. Apa yang pen­ting, perlawanan ini digunakan untuk menilai pasukan sendiri.

“Perkara yang perlu diberi keutamaan adalah taktikal. Kalau perlu diubah, kami ubah. Bagi saya walaupun liga domestik mereka (PNG) direhatkan, tetapi tidak bermakna mereka tidak cergas.

“Mereka boleh menjadi ancaman jika kami tidak mengambil serius. Kami perlu ambil peluang sebaik mungkin dan berdisiplin di bahagian pertahanan,” kata­nya dalam sidang akhbar di Wisma FAM di sini, hari ini.

PNG yang menduduki ranking ke-159 dunia, tidak bermain dalam sebarang aksi kompetitif sejak pertemuan dengan Malaysia 16 Jun lalu kerana semua kemudahan bola sepak di negara itu ditutup bagi memberi laluan kepada persediaan Piala Dunia Wanita Bawah 20 tahun yang dianjurkan mulai hari ini.

Aksi pertama mereka selepas lima bulan adalah tewas 1-8 kepada pasukan No. 1 Asia, Iran dalam perlawanan persahabatan di Shah Alam, Khamis lalu.

“Bukan mudah nak lawan PNG. Walaupun mereka tewas kepada Iran tempoh hari tetapi kami tahu mereka dah lain.

“Namun, saya tidak mahu fikir tentang perubahan yang akan dilakukan PNG, sebaliknya mahu lihat pergerakan sendiri.

“Saya harap pasukan me­nunjukkan permainan lebih teratur bukan sahaja daripada segi menyerang, bahkan bertahan,” jelasnya.

Menghuni ranking ke-164 dunia, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bakal memulakan kempen Piala AFF berdepan Kemboja, Ahad depan, sebelum menentang Vietnam (23 November) dan tuan rumah Myanmar (26 November).

Ketika ditanya siapakah yang bakal melengkapkan kesebelasan utama menentang Kemboja, Kim Swee memberi bayangan mereka terdiri daripada pemain yang beraksi menentang PNG.

“Saya boleh buat enam pertukaran dalam perlawanan itu. Sesiapa pun pemain yang diubah, dia akan diturunkan menentang Kemboja nanti,” ujarnya yang akan mengeluarkan senarai ­akhir 23 pemain, Selasa ini.

Sementara itu, Kim Swee juga menegaskan beliau enggan mengambil pusing tentang kritikan yang dilemparkan kepadanya sebelum tirai Piala AFF ditutup.

Sumber : Utusan Online


Download aplikasi The Sukan di Google Play