The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Hanya EXCO FAM Mempunyai Kuasa Memutuskan Agihan Keuntungan Liga-M

Encik Bakri pada October 22, 2015

KUALA LUMPUR: Hanya EXCO FAM Mempunyai Kuasa Memutuskan Agihan Keuntungan Liga-M dan pihak Football Malaysia LLP (FMLLP) tidak mempunyai kuasa menentukan jumlah agihan keuntungan daripada perkongsian antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Media Partners & Silva (MP & Silva).

Awal tahun ini, FAM dan MP & Silva, syarikat pemegang hak media antarabangsa menandatangani perjanjian menyaksikan penubuhan FMLLP yang bertanggungjawab mengendalikan Liga Malaysia (Liga-M) pada 2016.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata hanya anggota EXCO FAM mempunyai kuasa memutuskan perkara itu yang kerap dibangkitkan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin semalam mengenai agihan keuntungan Liga-M adalah tepat sambil menegaskan EXCO FAM perlu mengundi untuk mencapai persetujuan.

“Sekretariat atau pengurusan FMLLP yang saya uruskan tidak boleh mengubah jumlah peratusannya,” kata Ramalingam kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau juga berkata FMLLP akan mengadakan bengkel khas untuk negeri dan kelab yang terbabit dengan Liga-M bulan depan, bagi menerangkan kepada mereka mengenai isu itu.

Ramalingam berkata FMLLP telah menemui mereka yang terbabit dan akan melakukannya lagi bagi memastikan ketelusan agihan keuntungan Liga-M itu.

“Tiada apa yang akan kami (FMLLP) sembunyikan. Itulah cara yang saya mahu ia dikendalikan…secara telus dan terang,” katanya.

Menerusi perjanjian itu, MP & Silva dijangka menyalurkan RM70 juta setahun kepada FMLLP bagi tempoh 2016-2021, RM85 juta setahun dari 2022-2024, RM92 juta dari 2025-2027 dan RM103 juta dari 2028-2030.

Daripada keuntungan RM70 itu, FAM akan mendapat 40 peratus daripadanya, negeri dan kelab yang bertanding 30 peratus, pembangunan belia dan pengadil mendapat 10 peratus manakala baki 20 peratus untuk mengendalikan Liga-M.- BERNAMA


Download aplikasi The Sukan di Google Play