Hamann Percaya United Tidak Akan Tewas Dalam Derbi Manchester

Encik Bakri oleh Encik Bakri 6 hari yang lalu

Bekas pemain Liverpool, Dietmar Hamann berkata Manchester United tidak boleh tewas kepada Manchester City apabila kedua-dua pasukan bertembung sesama mereka hujung minggu ini sambil memberitahu yang pasukan Jose Mourinho memerlukan persembahan yang hampir sempurna untuk mencatatkan kemenangan.

Pada derbi Manchester Ahad nanti, Red Devils bakal melayan kunjungan jiran mereka yang selesa menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris dan berkelebihan 8 mata di hadapan United yang berada di tangga ke-2.

Mourinho sedar pasukannya tidak boleh kalah dalam perlawanan tersebut andainya mereka memasang impian untuk merangkul trofi Liga Perdana Inggeris musim ini. Skuad Manchester City dibawah bimbingan Pep Guardiola menunjukkan prestasi yang hampir sempurna setakat ini, memenangi 14 dari 15 perlawanan liga disamping mempamerkan bolasepak yang menarik untuk disaksikan.

Hamann kini sering dijemput menjadi penganalisa bolasepak untuk stesen televisyen Sky Sports dan apabila ditanya mengenai peluang Manchester United dalam pertemuan getir tersebut, beliau menjawab anak buah Mourinho harus menggunakan setiap peluang yang ada dan bertahan dengan kental untuk mendapatkan sesuatu dari perlawanan ini.

"Saya rasa beberapa tahun kebelakangan ini City akan hadir dalam perlawanan sebegini selaku pilihan utama, dan kali ini mereka masih lagi calon utama untuk menang kerana mereka menunjukkan persembahan yang sangat kuat dalam Liga Perdana Inggeris."

"Ini mungkin satu perlawanan dimana United tidak mampu untuk tewas kerana jika tewas, jarak mata diantara dua pasukan ini mungkin akan menjadi lebih besar jika dilihat prestasi semasa Manchester City. Perbezaan 5 atau 6 mata pun sudah sukar, apatah lagi 9 atau 10 mata."

United akan turun dalam perlawanan tersebut tanpa khidmat pemain tengah berpengaruh mereka, Paul Pogba yang digantung 3 perlawanan kerana kad merah yang diterimanya dalam perlawanan Arsenal tempoh hari kerana terjahan keras ke atas Hector Bellerin.

Hamann menegaskan Mourinho mungkin sudah tahu apa yang perlu dirangka untuk bermain tanpa Pogba dan berkata United perlu berada pada tahap terbaik mereka untuk mendapatkan sesuatu yang bermakna dalam derbi Manchester itu.

"United harus bertahan dengan baik. Pemain mereka perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada dan tidak memberi peluang yang senang kepada pihak lawan. Saya berpendapat mereka harus mengurangkan setiap kesilapan."

"Pada pendapat saya, hanya satu pasukan pada masa kini yang mampu menewaskan City dan pasukan itu adalah Manchester United. Ini kerana dalam perlawanan besar, United sangat degil dan sukar untuk ditembusi."

"Mereka berjaya mencatatkan keputusan yang bagus di Arsenal, walaupun mereka didominasi pihak lawan hampir keseluruhan perlawanan tetapi masih lagi mampu mencatatkan kemenangan. United tidak mampu memberikan Kevin De Bruyne sebarang ruang, kerana pemain ini adalah jantung kepada setiap pergerakan Manchester City pada masa kini."

"Sudah tentu Pogba adalah kehilangan yang cukup besar, tetapi jika mereka mampu menampilkan persembahan yang hampir sempurna, United mungkin boleh memenangi perlawanan itu nanti."




Paparkan Komen