The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Gambar: BWF

Goh V Shem dan Tan Wee Kiong Rangkul Kejuaraan Sulung BWF World Superseries

Encik Bakri pada October 24, 2016

Pasangan beregu negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong akhirnya berjaya merangkul gelaran kejuaraan BWF World Superseries Tour buat pertama kali, pemenang pingat perak sukan Olimpik Rio menewaskan pasangan Thailand Thailand Bodin Isara dan Nipitphon Phuangphuapet dalam perlawanan yang berlanjutan sehingga set ke-3.

Ikuti berita penuh perjalanan beregu negara ini seperti yang dipetik dari sumber Utusan Online. Tahniah!

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong terpaksa bermandi peluh selama sejam sebelum akhirnya merangkul kejuaraan badminton Siri Super Premier (SSP) buat kali pertama dengan menum­paskan pasangan Thailand, Bodin Issara-Nipitphon Phuangphuapet dalam final Terbuka Denmark di Odense, hari ini.

Selepas tersingkir awal pada Terbuka Jepun bulan lalu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu akhirnya bukan sahaja menunjukkan kebangkitan hebat, malah mencatat babak baharu dalam karier mereka dengan melakar kemenangan 14-21, 22-20, 21-19.

Malah ini juga adalah kali pertama Malaysia berjaya memena­ngi kejuaraan Siri Super Premier bukan menerusi acara perseora­ngan lelaki, yang selama ini dilakukan jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Ini juga adalah kemenangan ketiga berturut-turut buat pasangan No. 7 dunia, V Shem-Wee Kiong dalam tiga pertemuan menentang Issara-Phuangphuapet sejak All England pada Mac dan Terbuka Jepun bulan lalu.

Dalam perlawanan itu, V Shem-Wee Kiong bermula perlahan apabila membenarkan lawan mereka untuk memenangi set pertama.

Aksi kebangkitan hanya dapat dilihat ketika set kedua yang berlangsung lebih dramatik sebelum berkesudahan dengan 22-20, sekali gus memaksa pemenang ditentukan menerusi set penentuan yang memihak pasangan negara.

V Shem-Wee Kiong sebelum itu sudahpun memahat sejarah tersendiri apabila melangkah ke final Siri Super Premier buat kali pertama dengan mengejutkan pasangan No. 2 dunia, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark 20-22, 21-15, 21-11 dalam separuh akhir.


Download aplikasi The Sukan di Google Play