Gerard Pique Sambung Master di Universiti Harvard

Eikrem 2 bulan yang lalu

Bintang pertahanan tengah Barcelona, Gerard Pique, tidak kembali ke Barcelona bersama rakan sepasukan sebaik merangkul Copa Del Rey pada hari Sabtu lalu, dia sebaliknya terus terbang ke Boston untuk menyambung pengajian peringkat Sarjana, atau dalam bahasa mudahnya sambung Master.

Pique bermain dalam kesebelasan utama dalam perlawanan menentang Alaves tersebut dan berjaya membantu Blaugrana memenangi piala itu buat kali ketiga.

Selepas perlawanan, para pemain segera pulang ke Barcelona untuk sambutan bersama penyokong namun Pique sebaliknya tinggal di Madrid sementara sebelum meneruskan perjalanan ke Boston, Amerika Syarikat untuk menyambung Sarjana dalam Pengajian Perniagaan, Media, Sukan dan Hiburan di Universiti Harvard.

Universiti Harvard | Gambar : Immersive Education

Universiti Harvard adalah merupakan salah satu universiti yang paling berprestij di dunia dan untuk mendaftar dengan universiti ini, seseorang perlu mempunyai kelulusan akademik yang cemerlang atau wang yang banyak.

Pique juga dikenali sangat anti Real Madrid dan dia dikatakan tidak akan mengambil tahu tentang perlawanan akhir Liga Juara-juara antara Real Madrid menentang Juventus pada hari Rabu nanti.

Pada usia 30 tahun, bibit-bibit persaraan sudah semakin hampir bagi suami penyanyi Shakira ini dan dia dikatakan sudah mempunyai perancangan masa depan sebaik sahaja menggantung but.

Pada hari ini, walaupun dia bukanlah kapten pasukan, Pique dianggap sebagai El Presidente di kalangan pemain dan dia juga dikatakan berhasrat untuk menjadi presiden Barcelona pada suatu hari nanti.

Pemenang Piala Dunia 2010 itu juga yakin dia akan membawa pembaharuan dan merevolusikan sukan nombor satu dunia ini.

Pique memenangi Piala Dunia 2010 | Gambar : Scoopnest

Mana tahu nanti Pique menjadi presiden UEFA pula pada tahun 2030 dan pada masa tu barulah UEFAlona betul-betul.

Secara sejarahnya, Pique memulakan pengajian bola sepak di akademi La Masia, sebelum dibeli Manchester United ketika dia berusia 16 tahun pada harga £1juta. Walaupun beraksi cemerlang sebagai pemain muda, dia gagal untuk memberikan cabaran kepada gandingan Vidic dan Ferdinand.

Apabila Pep Guardiola menaiki takhta sebagai ketua jurulatih Barcelona, Pique dibawa ke Nou Camp kembali pada 2008 dan sejak itu dia telah memenangi La Liga, Copa Del Rey, Liga Juara-juara dan kejohanan kelab dunia bersama Barcelona.

Bersama Sepanyol pula, dia telah memenangi Kejohanan Eropah dan Piala Dunia masing-masing pada 2008 dan 2010.

Dengan kata lain, Pique telah berjaya memenangi kesemua piala berprestij yang diidam-idamkan oleh semua warga peminat, pengkeji dan pemain bola sepak.

Sumber berita : Dream Team