Gary Neville Mahu United Rehatkan Pemain Utama Ketika Menentang Manchester City

Izuddin oleh Izuddin 3 hari yang lalu

Lagenda Manchester United, Gary Neville mahu bekas pasukannya itu merehatkan pemain utama apabila turun menentang Manchester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris hujung minggu hadapan.

Seperti semua sedia maklum, Manchester City dan Liverpool kini bersaing sengit untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan kedua-dua pasukan silih berganti mendahului carta liga.

Neville ada rancangan tersendiri untuk melihat United bermain dalam Liga-Juara-Juara Eropah musim depan.

Selepas mengharungi 34 perlawanan, Liverpool berada di tangga teratas dalam carta Liga Perdana Inggeris, 2 mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester City yang bermain kurang 1 perlawanan.

Jika dilihat pada senarai pasukan yang bakal ditentang Liverpool selepas ini, anak buah Jurgen Klopp dilihat tidak berdepan sebarang masalah untuk mengutip 3 mata dari semua perlawanan mereka selepas ini.

Berbeza pula buat Manchester City kerana mereka perlu melalui jalan yang agak berliku selepas ini. Bagi perlawanan liga yang seterusnya, The Citizens bakal melayan kunjungan pasukan yang menghuni tempat ke-3, Tottenham Hotspurs yang juga terdesak mencari 3 mata bagi mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Beberapa hari selepas itu, Manchester City sekali lagi bakal berdepan cabaran getir apabila perlu mengutip 3 mata menentang seteru setempat, Manchester United di Old Trafford.

Ditelan mati mak, diluah mati bapak. Itulah yang dilalui kebanyakan peminat Setan Merah ketika ini. Nak layak UCL ke atau nak bagi Liverpool champien?

Bagi kebanyakan peminat Liverpool, pertemuan 'Manchester Derby' merupakan pertemuan yang dinanti kerana ia mampu membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris buat kali pertama.

Sekiranya Manchester United berjaya mencuri mata dari perlawanan tersebut, peminat Liverpool bakal menjadi insan paling gembira di atas muka dunia ini.

Tetapi seperti pepatah The Sukan yang popular, hanya perasaan iri hati dan hasad dengki sahaja yang menafikan Liverpool bakal menjadi juara Liga Perdana Inggeris.

Pengulas bola sepak tersohor yang juga lagenda Setan Merah, Gary Neville mempunyai pendapat beliau sendiri mengenai pemilihan skuad bagi pertemuan penting tersebut.

Neville mendakwa Manchester United perlu merehatkan pemain ketika menentang Manchester City kerana ia mampu meningkatkan peluang mereka untuk mengakhiri musim ini di kedudukan empat teratas.

United bakal melalui tempoh 11 hari yang sibuk bermula dengan kunjungan ke Nou Camp awal pagi nanti. Selepas itu, mereka akan berkunjung ke Goodison Park untuk berhadapan dengan Everton.

Beberap hari kemudian, tibalah masa yang ditunggu-tunggu peminat Liga Perdana Inggeris seantero dunia. United bakal melayan kunjungan City di Old Trafford dan selang 3 hari selepas itu, giliran Chelsea pula mencuba nasib untuk mencuri 3 mata dari United di gelanggang yang sama.

Hanya hasad dengki dan iri hati menafikan kehebatan Liverpool.

"Ia bakal menjadi 10 hari yang penting buat United, bermula dengan Barcelona sehingga Chelsea."

"Anda tengok pada skuad United sekarang. Adakah mereka mampu menurunkan skuad yang sama untuk menghadapi perlawanan-perlawanan itu nanti ?"

"Mereka perlu memilih perlawanan mana yang lagi penting dan membuat perubahan."

"Untuk Barcelona, sudah tentu Ole akan menurunkan skuad terkuat untuk mencipta sejarah."

"Namun begitu, perlawanan pada hari Ahad [Everton] nanti dianggap perlawanan yang paling mampu dimenangi United dari 3 perlawanan selepas Barcelona."

"Jika mereka menang pada hari Ahad nanti, dan menang ke atas Manchester City, dan tewas kepada Chelsea, Manchester United tetap akan menamatkan kempen musim ini di luar kelompok 4 pasukan terbaik."

"Anda tidak boleh menggunakan pemain yang sama untuk menghadapi 4 perlawanan dalam tempoh 11 hari. Jika United berjaya menewaskan Everton, saya rasa Ole akan membuat 2 atau 3 perubahan dalam kesebelasan utama untuk berdepan City, dengan harapan dapat mencapai keputusan yang sama."




Paparkan Komen