Gaji Maksimum – Kenapa Kita Kena Contohi Liga Australia

Eikrem 7 bulan yang lalu

Sejak permulaan era professionalisasi bola sepak Malaysia pada tahun 1994, paradigma bola sepak Malaysia masih lagi di takuk sama, sama ada dari segi kewangan, kualiti permainan, kualiti pemain dan paling penting, kualiti pengurusan.

Saban tahun kita akan disajikan dengan berita-berita masalah kewangan persatuan bola sepak di seluruh negara, terutamanya Kelantan dan Perlis – dua pasukan yang sering bankrup!

Secara keseluruhannya, tradisi bola sepak kita lebih kepada menyalin cetakan biru liga-liga eropah, terutamanya Liga Perdana Inggeris tentang format, peraturan liga dan juga gaji pemain.

Gaji pemain di Malaysia sama jumlahnya dengan gaji pemain di liga Jepun, walaupun perbezaan kualiti yang sangat ketara bagaikan bumi dan langit, bukan bagaikan aur dengan tebing.

Disebabkan gaji yang terlampau tinggi ini, pasukan terpaksa berbelanja besar untuk menarik minat pemain-pemain yang dirasakan mampu untuk membawa cabaran pasukan dan akibatnya, banyak pasukannya yang nasibnya ibarat sirih naik junjungan patah, kerana perbelanjaan terbesar sesuatu pasukan ialah gaji pemain.

Jadi, untuk mengatasi masalah yang semakin tidak terkawal ini, salah satu langkah penyelamatan yang boleh diambil ialah dengan pengenalan gaji maksimum dan gaji minimum.

Bayangkan ada pemain yang dibayar RM50,000 hanya untuk bermain tiga minit setiap perlawanan!

Contoh liga yang mengamalkan dasar gaji maksimum ini antaranya Liga Australia (Hyundai A-League) dan juga Amerika Syarikat (Major League Soccer).

Memandangkan rakyat Amerika Syarikat memilih Donald Trump sebagai presiden baharunya, maka kita ambil contoh A-League.

Kenapa gaji maksimum dan minimum diwujudkan?

Dalam A-League, sistem gaji maksimum diwujudkan untuk memudahkan setiap pasukan merancang pasukan tahun demi tahun, di samping mengelakkan kewujudan jurang besar antara pendapatan di antara setiap pemain dan dengan praktis ini persaingan liga akan lebih kompetitif dan menarik minat syarikat-syarikat besar untuk turut serta terlibat.

Berapakah jumlah gaji maksimum?

Gaji maksimum seluruh pasukan yang ditetapkan oleh FFA ialah AUD2.6 juta untuk musim 2016/2017. AUD2.6 juta ini adalah perbelanjaan maksimum dalam tempoh setahun yang boleh digunakan oleh kelab untuk membayar gaji kesemua pemain dalam pasukan tersebut.

Tiada nilai spesifik untuk gaji maksimum seseorang pemain, asalkan perbelanjaan gaji keseluruhannya tidak melebihi AUD2.6 juta.

Berapakah pula gaji minimum?

Gaji minimum seluruh pasukan yang ditetapkan ialah 90% daripada jumlah gaji maksimum iaitu AUD2.34 juta. Jadi, perbelanjaan kelab mestilah lebih dari AUD2.34 juta, dan tidak melebihi AUD2.6 juta.

Untuk pemain pula, gaji minimum yang akan diterima adalah seperti berikut :

  1. Berusia bawah 20 tahun : AUD41,533 setahun
  2. Berusia 20 tahun dan ke atas : AUD55,715 setahun.

Adakah ini bermaksud gaji semua pemain di liga Australia sama?

Tidak. Bajet AUD2.6 juta tersebut adalah untuk keseluruhan pemain yang didaftarkan. Pasti ada pemain yang mendapat gaji lebih tinggi berbanding pemain lain.

Jadi, berapakah jumlah pemain yang didaftarkan?

Dalam satu musim, satu pasukan A-League boleh mendaftar :

  1. 20 orang pemain, minimum.
  2. 23 orang pemain, maksimum.
  3. 2 penjaga gol, minimum.
  4. 3 orang pemain warganegara Australia berusia 20 tahun dan ke bawah.
  5. 5 orang pemain import, maksimum.

Maksudnya, AUD2.6 juta tadi jika dibahagikan kepada 23 orang pemain, maka purata sebulan gaji di Liga Australia ialah AUD 9400.00, atau bersamaan dengan RM30,500.00.

Purata gaji pemain di Malaysia ialah RM50,000.00!!

Walaubagaimanapun, ada beberapa kategori pemain dan situasi yang dibolehkan untuk tidak termasuk dalam pakej gaji maksimum dan minimum ini. Antaranya ialah :

Pemain bintang (Designated player)

Kelab boleh berbelanja gaji tanpa had, untuk DUA pemain, sama ada import atau tempatan untuk didaftarkan sebagai pemain bintang.

Antara bintang import  yang pernah bermain ialah Alessandro Del Piero, Romario dan David Villa. Manakala pemain bintang tempatan yang pernah bermain ialah Harry Kewell, Bret Emerton dan Nurshahrul Idlan Talaha.

Seseorang pemain itu hanya layak didaftarkan sebagai bintang bergantung kepada kelulusan FFA.

Pemain jemputan (Guest player)

Kelab boleh berbelanja tanpa had untuk seorang pemain jemputan, dengan kata lain pemain pinjaman, yang mampu menaikkan reputasi A-League dan mendapat kelulusan FFA. Pemain jemputan ini tidak boleh bermain melebihi 14 perlawanan dalam A-League dalam satu musim.

Pemain jemputan musim 2016/2017

Kelab boleh berbelanja tanpa had untuk seorang pemain jemputan khas untuk musim 2016/2017, dan tiada hak perlawanan maksimum. Pemain jemputan ini mestilah mempunyai nilai kebolehpasaran liga Australia. Pendaftaran pemain ini semestinya tertakluk kepada kelulusan FFA.

Pemain tempatan (Homegrown player)

Pemain homegrown ialah pemain yang berusia 23 tahun dan ke bawah, dan dihasilkan daripada akademi kelab. Untuk pemain-pemain ini, kelab boleh berbelanja AUD150,000 setahun untuk tiga pemain di bawah kategori ini.

Pemain setia

Jika seseorang pemain itu telah bermain bersama kelab yang sama selama lima tahun berturut-turut dan ke atas, maka pemain tersebut layak untuk mendapat gaji yang tinggi, dan di luar perbelanjaan gaji maksimum pasukan.

Pendatang baru (Mature Age Rookie)

Mature Age Rookie (MAR) merujuk kepada pemain yang berusia 21 tahun dan ke atas, yang pernah bermain di mana-mana liga di Australia tetapi tidak pernah bermain secara professional dalam tempoh 18 bulan sebelumnya. Maka pemain ini boleh diberikan gaji yang kurang daripada gaji minimum.

Pemain biasiswa

Setiap kelab boleh mengambil seramai enam orang pemain bawah 20 tahun, berwarganegara Australia dan dibayar mengikut gaji minimum remaja.

Ranking Gaji Maksimum

Jika kelab tidak berbelanja sepenuhnya AUD2.6 juta pada musim ini, maka bakinya boleh dibawa ketahun hadapan, dengan syarat nilai keseluruhan perbelanjaan tidak boleh lebih 5% daripada gaji maksimum.

Perbelanjaan perpindahan –

Kelab boleh berbelanja membantu pemain untuk meyediakan rumah, kereta, tambang keretapi dan lain-lain lagi utnuk pemain yang baru berpindah menyertai kelab mereka dan ini adalah untuk membantu pemain membiasakan diri dengan tempat baru.

Rujukan : A-League