Freestyles Football – Kejayaan Dua Anak Muda

Eikrem 6 bulan yang lalu

Bola sepak gaya bebas atau freestyle football adalah satu sukan yang dimainkan secara individu atau berkumpulan mengikut selera can citarasa masing-masing. Ada yang timang bola guna lutut, ada yang silang-silang bola di bawah ketiak dan ada yang letak bola di atas muncung bibir seperti anjing laut.

Antara jenis dan nama skill dikenali ialah ‘Aroung the World’, ‘Hop the World’, ‘Crossover’, ‘Toe Bounce’, ‘Camel Toe’, ‘Rainbow’ dan banyak lagi. Untuk mengenali dengan lebih dekat skill yang disebut, boleh layari YouTube atau hubungi admin Encik Bakri.

Antara pengamal freestyle yang terkenal di dunia ialah pemilik saluran YouTube terkemuka, F2Freestyles-Ultimate Soccer Skills, iaitu Billy Wingrove dan Jeremy Lynch.

Lihat : Lakonan semula FIFA17 glitch oleh Billy dan Jeremy

Siapakah Billy dan Jeremy?

Billy, atau nama sebenarnya William Wingrove merupakan anak kepada pemain bola sepak Tottenham Hotspur dan dia pernah berada di akademi remaja Tottenham namun dia tidak terpilih untuk berada sebaris dengan Andros Townsend, Jake Livermore, Stephen Kelly atau Luke Young – antara pemain yang sempat membuat penampilan professional bersama Spurs sebelum dijual.

Pada tahun 2003, ketika Wingrove berusia 21 tahun, dia telah menyertai pertandingan Nike Freestyle, yang disertai 6000 peserta dan perjuangannya dalam pertandingan ini terhenti di separuh akhir setelah tewas kepada peserta Korea Selatan, Hee Young Woo. Sejak hari itu, Wingrove sangat benci lagu K-Pop, kecuali Wondergirls.[1]

Walaupun tewas, Billy telah dipilih untuk membuat penampilan dalam iklan-iklan jenama terkenal seperti Coca Cola, O2, Barclaycard, Disney dan juga Sky Sports. Dia juga dijemput untuk membuat persembahan ketika rehat separuh masa dalam perlawanan-perlawanan di Old Trafford, Carrow Road dan juga Stamford Bridge.[2]

Billy menjadi pakar freestyles yang pertama mengikat kontrak bersama kelab professional apabila disunting kelab kegemarannya, Tottenham Hotspur. Tugas Billy di Spurs ialah berkongsi teknik kepada jurulatih dan pemain akademi kelab tersebut, selain terlibat dalam aktiviti masyarakat dan promosi Spurs.

Rakan baik Billy, Jeremy Lynch juga pernah bercita-cita untuk menjadi pemain professional. Jeremy pernah menyertai akademi Arsenal namun disingkirkan pada usia 15 tahun kerana, walaupun mempunyai teknik yang cemerlang, Jeremy tidak mempunyai kepintaran dalam membuat keputusan. Mungkin dia lupa bahawa ada dua orang sahaja pemain yang boleh menggelecek kesemua pihak lawan dalam padang iaitu Leo Messi dan Wan Zack Haikal.

Jeremy kemudiannya memfokuskan dirinya ke arah freestyle, yang dia mendapat inspirari daripada iklan Edgar Davids pada tahun 2000. Jeremy pernah menyertai pertandingan ‘Orang British Berbakat’ pada tahun 2008 dan mampu mendapat ‘3 yes’ daripada Simon Cowell, Amanda Holden dan Piers Morgan.

Bila direnungkan semula, ada baiknya Jeremy gagal bermain untuk Arsenal. Kalau tak mesti dia kena hadap nombor empat.

Sejak itu Jeremy tidak memandang ke belakang lagi, melainkan ketika hendak melintas jalan, dan telah bertemu Billy dan pada Julai 2011, mereka berdua menubuhkan satu saluran YouTube, F2 Freestyles – Ultimate Soccer Skills. Sehingga kini, saluran mereka telah dilanggan oleh 5juta penonton – lebih banyak daripada saluran Ayda Jebat. Maaf Ayda Jebat Screamers.[3]

Dalam saluran ini, mereka telah berkolaborasi bersama ramai pemain terkenal seperti Cristiano Ronaldo, Leo Messi, Neymar dan ramai lagi. Namun kekurangan mereka ialah masih belum menjemput Safiq Rahim ke salurannya.

Dua anak muda ini adalah contoh kepada anak muda yang lain bahawa kegagalan dalam sesuatu perkara bukanlah satu pengakhiran kehidupan malah sebenarnya kegagalan itulah yang membuka jalan kepada sesuatu yang lebih besar.

Nota :

1- Firasat penulis semata-mata. Tiada bukti kukuh.

2 – Sumber dari Wikipedia

3 – Sumber dari YouTube