FIFA17 : Apakah Nasib Real Madrid dan Barcelona Jika Mereka Bermain di Liga Perdana Inggeris?

Eikrem oleh Eikrem 5 bulan yang lalu

Seperti yang diketahui satu dunia, La Liga adalah liga bola sepak yang hanya ditandingi oleh dua pasukan - Real Madrid dan Barcelona dengan kejuaraan liga sering dimenangi antara dua pasukan ini sahaja, dan sejak 1985, hanya Valencia, Atletico Madrid dan Deportivo La Coruna sahaja yang mampu memenangi La Liga selain dua kelab utama tersebut.

Mungkin sebab inilah tidak ramai yang menyukai liga divisyen 1 Sepanyol ini.

Namun, pernahkah terbayang, bagaimana jika kedua-dua kelab ini menyertai Liga Perdana Inggeris? Adakah mereka masih mengekalkan penguasaan sesama mereka sahaja?

Seorang pengguna YouTube, Jose Manu telah mengsimulasikan bagaimana jika Real Madrid dan Barcelona bermain di Liga Perdana Inggeris, dan hasilnya tidaklah begitu mengejutkan.

Musim Pertama

Barcelona hanya mampu menamatkan liga di tangga kedua di belakang Manchester United, di mana mereka hanya terlepas tangga teratas kerana perbezaan gol.

Pelik juga Manchester United menang liga. Mungkin dalam edisi FIFA17 ini mereka lebih bagus daripada Watford.

Real Madrid pula sekadar berada di tangga ketujuh, satu tangga di belakang West Ham.

Yang penting Arsenal di tangga keempat.

Musim Kedua

Pada musim ini Real Madrid bangkit dengan semangat pahlawan Castille apabila berjaya menduduki tangga kedua di belakang Tottenham Hotspur, dengan perbezaan tiga mata.

Barcelona pula menamatkan liga di tangga ke-11, di belakang Swansea dan Leicester City. Mungkin pada musim ini Messi patah kaki dan mereka tidak mendapat simpati pengadil. Walaubagaimanapun Blaugarana berjaya memenangi Piala FA.

Liverpool lagi lah, nombor 14. Entah cukup pemain entah tidak Liverpool pada musim tu.

Musim Ketiga

Setelah buat pertama kali dalam sejarah mereka tidak berada dalam kelompok dua teratas, Barcelona tampil bertenaga pada musim ketiga apabila muncul juara dengan beza lima mata berbanding Chelsea di tangga kedua.

Real Madrid pula menamatkan liga di tangga keempat, empat mata di atas Arsenal yang cuba mendapatkan hak mereka, namun gagal.

Jadi dengan simulasi yang telah dilakukan, mungkin telah menjawab persoalan utama para peminat bola sepak seluruh dunia yang tertanya-tanya apakah nasib kedua-dua pasukan tersebut di England.

Tapi semua ini hanyalah satu mimpi, memandangkan mana mungkin dua kelab terkuat dunia mahu bermain di liga yang teruk. Kan?

Video penuh simulasi tersebut adalah seperti di bawah.




Paparkan Komen