FAS Bukan Tempat Jamal Asah Bakat Jadi Badut

Eikrem 2 bulan yang lalu

Gabungan Kelab Penyokong Selangor (GKPS) melalui presidennya, Datuk Adam Rosly menempelak cadangan Datuk Seri Jamal Yunos yang menawarkan diri untuk menjadi presiden FAS, dalam satu sidang media hari ini.

Semalam Datuk Seri Jamal Yunos lengkap memakai jersi Selangor dan melukis bendera Selangor di mukanya bersama pengikut setianya telah mengunjungi pejabat FAS dan menyerahkan surat tawaran tersebut kepada Exco FAS, Adnan Sarif. Antara orang kanan Datuk Seri Jamal yang turut serta dalam kunjungan ini ialah anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Shohaimi Shadan dan exco Pemuda Umno Malaysia, Datuk Armand Azha Hanifah.

Mujur Adnan Sarif tidak gentar berdepan Datuk-Datuk dan Datuk Seri ini, dan di atas keberaniannya ini Encik Adnan patut dianugerahkan gelaran Datuk juga.

Dalam sidang medianya juga, Datuk Adam Rosly (Datuk lagi) telah menyarankan kepada Jamal supaya tidak menjadikan Red Giants sebagai modal politik dan tempat mengasah bakat badut serta parasit.

Datuk Adam Rosly juga turut menambah,

“Kemelut FAS ini tidak wajar dipolitikkan dan usahlah seorang ahli politik picisan seperti Jamal menjadikan ini sebagai batu loncatan untuk popular,”

Berhubung azam Datuk Seri Jamal yang bermanifesto ingin membawa pasukan Selangor setanding JDT, Datuk Adam berkata Selangor dan JDT sebenarnya berada dalam kelas tersendiri, selain kedua-dua pasukan sedang menikmati era kegemilangan masing-masing.

Datuk Adam turut berkata bahawa pengganti Datuk Seri Azmin tidak boleh terdiri daripada orang sebarangan, terutamanya yang memiliki kepentingan politik sendiri.

Jawatan presiden FAS kosong setelah Datuk Seri Azmin Ali telah meletakkan jawatan kerana sudah bosan dengan budaya politik berlebih-lebihan, melakukan kerja cara lama dan mentaliti bergantung kepada subsidi di kalangan pemimpin dalam persatuan itu.

Datuk Seri Jamal dijangka akan membalas kenyataan ini memandangkan terdapat sejarah pertarungan sidang media antara kedua-dua Datuk dan Datuk Seri ini. Jika tiada jawapan balas Datuk Seri Jamal, ini mungkin kerana dia trauma dengan mereka yang ada kaitan dengan Zuraida, atau dengan bahasa mudah, budak Zuraida.