The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

FAM Tidak Perlu Disiasat Oleh FIFA

Encik Bakri pada October 21, 2015

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak perlu disiasat oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), kata setiausaha agungnya, sebentar tadi.

Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ini kerana dakwaan kononnya persatuan itu gagal menangani korupsi dan menyimpan pendapatan hasil perolehan adalah sesuatu yang tidak berasas.

Semalam, Penasihat Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilaporkan meminta FIFA menyiasat FAM kerana didakwa gagal menangani masalah rasuah dan melunaskan hasil bayaran hak penyiaran kepada kelab terbabit liga tempatan.

Memetik laporan agensi berita Reuters, Tunku Mahkota Johor itu juga mahu badan induk bola sepak negara harus bertanggungjawab atas kekalahan besar Malaysia 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 selain kemerosotan kedudukan 171 Malaysia dalam ranking dunia.

Berikut adalah kenyataan penuh Hamidin berkenaan isu diatas seperti disiarkan oleh laman Facebook FAM, kira-kira jam 7.30 malam tadi:

Berikutan beberapa isu semasa membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kebelakangan ini, saya hari ini ingin memberikan beberapa fakta bagi menjelaskan perkara-perkara berkenaan.

Berhubung dakwaan FAM gagal menangani korupsi, pihak persatuan sebenarnya sentiasa memandang serius hal integriti ini apabila sudah pun menubuhkan Jawatankuasa Integriti FAM sejak dari tahun 2010 dan turut mewajibkan setiap persatuan bola sepak negeri menubuhkan jawatankuasa berkenaan di peringkat negeri pada tahun 2013.

Jawatankuasa Integriti FAM yang dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat kini dianggotai individu-individu penting dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Antaranya Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh; Ketua Penolong Pengarah Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman, Dato’ Roslee Chik; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Dato’ Shamsun Baharin Mohd Jamil dan Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Dato’ Azam Baki.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab menapis, memeriksa pemain asing dan juga memantau liga, pemain dan pegawai bagi menghindar gejala-gejala yang tidak sihat di dalam permainan bola sepak seperti rasuah dan menentukan keputusan perlawanan.

Justeru, untuk mengatakan bahawa FAM perlu disiasat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana dakwaan FAM gagal menangani korupsi dan menyimpan pendapatan hasil perolehan adalah sesuatu yang tidak berasas.

Ini kerana, FAM sebenarnya sudah pun menjalani program penambahbaikan dalam aspek pentadbiran dan pengurusan termasuklah pengurusan kewangan dengan mengambil kira usaha untuk mengoptimumkan peluang komersial yang juga merupakan intipati utama dalam Program Prestasi FIFA (FIFA Performance Programme).

Program selama tiga tahun ini sudah pun dijalankan di FAM sejak dari tahun lalu dan pihak juruaudit dari FIFA telah beberapa kali datang ke Wisma FAM untuk menganalisis sistem operasi dan pengurusan kewangan FAM, bukannya bagi mencari salah dan silap sebaliknya melihat mana-mana ruang yang perlu diperbaiki.

Wakil-wakil juruaudit dari FIFA itu terdiri daripada Perunding Program Prestasi FIFA (Laporan Kewangan), Anter Issac; Perunding Program Win-Win FIFA, Christophe Rousseau dan Pegawai Pembangunan FIFA (ERP & FIFA Connect), Sujit Manjuran.

Respon diterima daripada juruaudit berkenaan, mereka berpuas hati dengan segala aspek yang dinilai.

Di samping itu, FAM sendiri juga ada melantik juruaudit dalaman dan juruaudit luar untuk urusan pemeriksaan rekod kewangan persatuan.

Andai ada sesuatu dilakukan FAM yang tidak sesuai dengan amalan biasa, sudah pasti FIFA secara jelas boleh mengambil tindakan terhadap FAM kerana pihak persatuan sentiasa membuka pintu kepada mereka untuk melakukan penilaian.