The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

FAM Lega Kisah Pendrive Sudah Berakhir

Encik Bakri pada September 6, 2016

BERAKHIR sebuah spekulasi. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh menarik nafas lega apabila disahkan bebas daripada terlibat sebarang unsur rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Sehubungan itu, badan induk bola sepak negara nekad untuk mengikut saranan SPRM dalam misi penambahbaikan khususnya berhubung isu teknikal yang dibangkitkan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya akan meneliti saranan SPRM bagi proses penambahbaikan khususnya berhubung isu-isu teknikal yang telah dibangkitkan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada SPRM. Kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan sepenuhnya bahawa isi kandungan pendrive tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009,” katanya dalam satu kenya­taan semalam.

Justeru, Hamidin berharap spekulasi berhubung unsur rasuah dalam pendrive (pemacu pena) tersebut selesai selain menjelaskan pihak persatuan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.

“Dengan penjelasan SPRM tersebut, kami harap isu pendrive ini selesai. Selain itu, kami ingin menjelaskan bahawa pihak persatuan sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk bekerjasama dalam apa juga isu termasuk SPRM atau mana-mana pihak termasuk penyokong demi kebaikan bola sepak Malaysia.

“Selepas menerima laporan lengkap daripada SPRM dalam tempoh terdekat nanti, pihak persatuan akan penelitian terlebih dahulu berkenaan dokumen tersebut sebelum melakukan sebarang tindakan susulan,” katanya lagi yang kini berada di Solo, Indonesia menjelang pertemuan Harimau Malaysia menentang skuad republik itu dalam aksi persahabatan antarabangsa Kelas A malam ini.

Kontroversi tercetus apabila salah seorang pegawai tertinggi dalam badan induk bola sepak negara itu didakwa telah menyerahkan data sulit berbentuk pemacu pena kepada pemilik Johor Darul Takzim (Johor DT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail kemudiannya mendedahkan, baginda memiliki pemacu pena yang mengandung 279 halaman berkaitan salah laku pegawai serta penyelewengan dalam FAM sepanjang 30 tahun.

Rentetan itu, Tunku Ismail telah menyerahkan maklumat tersebut kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya menyerahkan pemacu pena yang mengandungi laporan mengenai bola sepak tanah air, Jumaat lepas.

SPRM dalam satu kenyataan semalam mengesahkan tiada unsur rasuah dalam pemacu pena tersebut selain menjelaskan, pihaknya akan menghantar satu laporan siasatan FAM dalam tempoh terdekat.

Artikel Penuh: Kosmo Online


Download aplikasi The Sukan di Google Play