Fakta Menjelang Pertemuan Final Liga Europa Antara Manchester United Dan Ajax Amsterdam

Mohd Hazwan oleh Mohd Hazwan 4 bulan yang lalu

Final Liga Europa bakal menemukan dua kelab yang bukan asing lagi dalam kejohanan bola sepak Eropah iaitu Manchester United dan juga Ajax Amsterdam. Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 24 Mei 2017 di Friends Arena, Stockholm, Sweden bakal berlangsung sengit. Kedua-dua pasukan semestinya mempunyai impian untuk menjulang trofi kejuaraan dan lebih penting lagi bagi mendapatkan tiket automatik ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim depan.

Laluan Ke Final Piala Europa 2016/2017

Manchester United menamatkan cabaran peringkat kumpulan di tempat kedua di belakang Fenerbahce setelah mencatatkan kemenangan ke atas Zorya pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Perlawanan pusingan 32 pasukan menentang  Saint-Etienne dan perlawanan pusingan 16 pasukan bertemu Rostov berjaya dilalui dengan mudah oleh United.

Namun, United dipaksa bekerja keras sehingga dipaksa diheret ke masa tambahan pada perlawanan suku akhir menentang Anderletch sebelum menang dengan agregat 3-2. Pada perlawanan separuh akhir berdepan Celta Vigo, Manchester United telah diberi tentangan sengit sebelum menang dengan agregat 2-1 dalam perlawanan yang penuh mendebarkan tempoh hari.

Sementara itu Ajax berjaya menjadi juara kumpulan G dan menewaskan Legia Warsaw dan FC Copenhagen pada perlawanan pusingan 32 pasukan dan pusingan 16 pasukan. Pada perlawanan suku akhir mereka menewaskan Schalke sebelum berjaya memadamkan tentangan sengit dari Lyon pada perlawanan separuh akhir tempoh hari dengan agregat 5-4. Satu fakta yang menarik ialah dalam laluan ke final, Ajax hanya berjaya mengatasi lawan dengan kelebihan satu jaringan sahaja sejak dari perlawanan pusingan 32.

[caption id="attachment_17263" align="alignnone" width="800"] Gambar: BleacherReport[/caption]

Rekod Pertemuan Manchester United Dan Ajax Amsterdam

Kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak empat kali  dengan masing-masing mencatatkan dua kemenangan dan dua kekalahan. Namun begitu, kelebihan berpihak kepada Manchester United kerana berjaya memenangi kedua-dua perlawanan melalui kelebihan agregat.

Perlawanan sulung melibatkan kedua-dua pasukan ialah pada pusingan pertama Piala UEFA untuk musim 1976-1977. Ketika perlawanan pusingan pertama yang berlangsung di Amsterdam Arena, Ajax berjaya mengatasi Manchester United hasil jaringan Ruud Krol namun Manchester United berjaya bangkit pada perlawanan timbal balik dengan menumpaskan Ajax 2-0 menerusi jaringan Lou Macari dan Sammy Mcllroy.

Mereka sekali lagi bertemu pada pusingan 32 pasukan Liga Europa pada musim 2011-2012. Manchester United beraksi cemerlang pada perlawanan pertama di tempat lawan apabila menang 2-0 hasil jaringan Ashley Young dan Javier Hernandez.

Ajax cuba bangkit ketika perlawanan timbal balik di Old Trafford. United tewas dengan keputusan 1-2 namun berjaya layak ke pusingan seterunsya dengan keputusan agregat 3-2.

Pemain Yang Bakal Menjadi Tumpuan

Dengan ketiadaan Zlatan Ibrahimovic akibat kecederaan lutut yang serius, Manchester United terpaksa mengharapkan penyerang muda berusia 19 tahun, Marcus Rashford untuk mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Ajax di samping rakan sepasukan lain seperti Paul Pogba dan Henrikh Mkhitaryan.

[caption id="attachment_17268" align="alignnone" width="1024"] Sumber: Squawka[/caption]

Sementara itu, pasukan Ajax akan mempertaruhkan  barisan pemain muda seperti penyerang muda Denmark berusia 19 tahun, Kasper Dolberg yang merupakan penjaring terbanyak Ajax bagi musim ini dengan 16 gol dalam Liga Belanda. Selain itu pemain-pemain lain seperti kapten pasukan, Davy Klaassen, Bertrand Traore, Justin Kluivert juga memberi tentangan kepada United.

[caption id="attachment_17269" align="alignnone" width="1920"] Gambar: Goal.Com[/caption]

Ramalan Awal Perlawanan Akhir Liga Europa

Manchester United mempunyai kelebihan daripada segi pengalaman berbanding barisan muda Ajax yang mungkin akan menghadapi sedikit tekanan dalam perlawanan akhir nanti. Saya menjangkakan pasukan United akan memperoleh kemenangan tipis 1-0 atau 2-0 dalam perlawanan akhir nanti. Bagaimana pula dengan anda? Kongsikan pendapat dan ramalan anda di ruangan komen.




Paparkan Komen