Faiz Subri Tidak Sabar Jumpa Ronaldo dan Mengimpikan Memakai Baju Melayu

Encik Bakri oleh Encik Bakri 1 tahun yang lalu

Faiz Subri penjaring gol ajaib tidak sabar untuk berjumpa dengan pemain bintang Real Madrid Cristiano Ronaldo dan mengimpikan untuk memakai pakaian tradisional iaitu Baju Melayu untuk ke anugerah yang dianjurkan FIFA.

Pemain Pulau Pinang itu bakal ke Zurich selepas tersenarai sebagai 3 calon terbaik untuk Anugerah Puskas. Baju Melayu bakal menjadi pilihannya jika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan pemakaian pakaian tradisio­nal ke majlis tersebut pada 9 Januari nanti.

Jika terpilih sebagai pemenang Faiz juga telah merancang untuk memberikan ucapan dalam Bahasa Melayu.

"Jika anugerah Puskas menjadi milik saya nanti, kalau boleh saya mahu memberi ucapan dalam bahasa Melayu.

"Saya lebih bangga untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan. Tiada istilah malu untuk bertutur bahasa ibunda kerana saya rakyat Malaysia.

"Kalau kita tidak bangga de­ngan bahasa kita siapa lagi?. Seperti saya cakap sebelum ini, kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang tapi kejayaan seluruh rakyat Malaysia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia

Faiz Subri juga melahirkan rasa teruja untuk ke Zurich kerana berpeluang untuk berjumpa Cristiano Ronaldo yang merupakan pemain idolanya.

"Apa pun, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada yang mengundi. Yang buat saya makin teruja apabila saya berpeluang untuk jumpa Ronaldo, pemain yang saya kagumi," katanya.

Semoga berjaya Faiz Subri. Kepada rakyat Malaysia jangan lupa untuk mengundi Faiz Subri.




Paparkan Komen