The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Ehsan Rasidin Amri Pemain Berusia 6 Tahun Pikat Akademi Manchester City

Encik Bakri pada October 6, 2016

Peminat kelab Manchester City tempatan pastinya mempunyai kelebihan untuk berbangga berbanding peminat kelab gergasi lain seperti Liverpool, Manchester United, Arsenal dan Chelsea apabila seorang anak Malaysia kini sedang berlatih bersama akademi bola sepak Citizens.

Individu dimaksudkan itu merupakan ‘si cilik’ bernama, Ehsan Rasidin Amri, 6, yang kini tinggal di Manchester, England bersama ibu bapanya yang be­kerja dan menetap di sana sejak 10 tahun lalu.

Menurut ayahnya Rasidin Amri Amir, 44, penglibatan anak keduanya itu dalam sukan bola sepak adalah sesuatu yang tidak dirancang, malah lebih kepada nasib yang baik.

Ehsan Rasidin Amri Pemain Berusia 6 Tahun Pikat Akademi Manchester City-2

“Ketika berusia lima tahun, Ehsan meminta supaya dihantar bermain bola sepak di mana-mana kelab sebagai aktiviti hujung minggu, tetapi saya dan isteri (Fairuz Hanapiah) mengambil masa agak lama untuk cari kelab bola sepak yang sesuai kerana jadual aktiviti Ehsan sedia padat dengan latihan taekwondo dan renang.

“Bagaimanapun pada April lalu, isteri saya mendapati ada sebuah kelab bola sepak iaitu Timperley FC yang terletak kira-kira 10 minit memandu kereta dari rumah kami, malah bertuah apabila kuota pendaftaran untuk menyertai kelab tersebut masih ada meskipun sudah hampir peng­hujung musim,” katanya kepada sebuah portal berita.

Akademi Manchester City itu bertanggungjawab melahirkan serta membimbing pemain berbakat seperti Micah Richards, Michael Johnson, Nedum Onuoha, Shaun Wright-Phillips dan Stephen Ireland.

Tambah Rasidin Amri, seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 70 tahun telah menemuinya setelah menyaksikan aksi Ehsan ketika anaknya menjalani sesi latihan dan beraksi dalam Sunday League.

“Dia cuba meyakinkan saya bahawa Ehsan perlu mendapatkan bimbingan profesional dengan menyertai Akademi Manchester City, tetapi sebenarnya tidak perlu untuk dia begitu memujuk saya kerana saya dan Ehsan adalah peminat tegar kelab Manchester City.

“Dia minta alamat, nombor te­lefon dan e-mel untuk dihubungi kemudian sambil kata Ehsan akan dapat surat tawaran dari Akademi Manchester City, dan ia benar-benar berlaku pada awal Jun lalu,” jelasnya yang merupakan anak kelahiran Batu Pahat, Johor.

Perkara yang membanggakan, katanya, Ehsan dipilih sebagai pemain terbaik tahunan Timperley FC bagi kategori pemain berusia enam tahun pada penghujung musim liga pada Julai lalu.

Usaha Utusan untuk mendapatkan ulasan daripada Rasidin Amri menerusi akaun Facebook bagaimanapun gagal.

Sementara itu, perkembangan Ehsan turut mendapat perhatian laman Facebook Johor Southern Tigers apabila kisah Ehsan telah dimuat naik ke dalam laman tersebut.

Kenyataan yang dikeluarkan juga menyebut, Ehsan kini bermain di bahagian tengah dan Rasidin Amri juga tidak menolak kemungkinan sekiranya Ehsan berpeluang untuk bermain bersama pasukan Johor pada masa akan datang.

Pada masa sama, kenyataan tersebut turut mengundang beberapa komen daripada pengikut Johor Southern Tigers.

Seorang pengguna Facebook dengan nama Azino Ramo berkata: “Alangkah lebih baik adik terus menetap dan bermain di sana (Manchester) sehingga ke tahap kemampuan yang tertinggi. Timba ilmu sehabis baik sebab City adalah salah sebuah kelab yang terbaik di Eropah dan di dunia, jangan sia-siakan peluang yang ada.”

Sumber : Utusan Online


Download aplikasi The Sukan di Google Play