Dulu Mujur Ada Pamoga Kini Mujur Ada Anuar Musa

Encik Bakri 4 bulan yang lalu

Akhirnya semua terjawab, Kelantan tidak jadi menarik diri apabila wira sebenar telah tiba untuk menyelamatkan pasukan Kelantan, beliau adalah Tan Sri Anuar Musa, Jika dulu mujur ada Pamoga sekarang mujur ada TSAM.

Kelantan sebelum ini acah-acah mahu menarik diri selepas Presiden terdahulu meletak jawatan. Maka terjadilah episod-episod dramatik dari filem membawa ke drama hinggalah ke telenovela yang berpanjangan.

Ibarat telenovela Rosalinda di mana hubungan Rosalinda Pérez Romero bersama Fernando José Altamirano del Castillo yang sering berantakan tetapi mereka hidup aman bahagia bersama pada episod ke 80 iaitu episod terakhir.

TSAM menyelamatkan The Red Warriors pada saat genting apabila membuat tajaan melalui syarikat Al-Hamra Group dan Red One yang muncul selaku penaja utama.

“Untuk itu saya telah kemukakan satu pendekatan iaitu syarikat Al-Hamra Group dan Red One akan menjadi penaja utama.

“Dua syarikat di bawah saya ini memastikan pelan ini tidak gagal. Oleh kerana Al-Hamra sebagai penjamin (bon) RM3 juta saya mesti ambil tanggungjawab supaya TRW teruskan saingan.”

Dalam pada itu TSAM juga menjelaskan bahawa beliau akan membentuk konsortium untuk mengumpul dana bagi pasukan Kelantan. TSAM juga berkata beliau tidak berminat untuk jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan(KAFA).

“Saya minta sedikit tempoh sebelum liga bermula bagi membentuk konsortium ini. Kita akan cari lagi syarikat-syarikat lain untuk kumpul dana mencukupi bagi sepanjang musim ini.

“Saya tidak akan kembali sebagai presiden Kafa, saya sekarang sebagai penaja. Saya tidak berminat dengan soal jawatan.” katanya.

Alang-alang sudah menjadi penaja, alangkah molek TSAM swastakan pasukan kerana TRW tidak menerima bantuan dari Kerajaan Negeri. Bukit Jalil sek kito! Ko air mato pulok?