Donnarumma ke England?

Eikrem 6 bulan yang lalu

Ramai yang tidak mengenali penjaga gol muda, Gianluigi Donnarumma yang juga merupakan penjaga gol utama kelab AC Milan, dan kini dikatakan sedang berunding untuk mendapatkan gaji setinggi £165,000 seminggu bersamaan £8.5 juta setahun, dengan kontrak selama empat tahun.

Dalam satu pendedahan yang dibuat The Sun, Donnarumma yang baru sahaja berusia 17 tahun dikatakan meminta gaji setinggi itu melalui ejennya, Mino Raiola – yang juga merupakan ejen kepada pemain termahal dunia, Paul Pogba.

“Hello, Pep ke tu? Aku ada keeper ni…” Raiola sedang bercakap di telefon Lenovo.

AC Milan kini sedang berada dalam perbincangan untuk pembelian oleh hartawan dari China dan menurut Raiola, sebarang perbincangan tidak akan mencapai kata putus selagi pembelian urus niaga tersebut masih belum mencapai kata sepakat.

Jika Donnarumma mendapat gaji tersebut, dia akan  menjadi penjaga gol termuda yang menerima gaji tertinggi di dunia, mengalahkan penjaga gol hebat yang lain seperti David De Gea, Gigi Buffon dan juga Izham Tarmizi.

Menurut Google, gaji Buffon yang telah terbukti kecemerlangannya selama hampir tiga dekad sekadar £3.5 juta setahun.

Jika permintaan gajinya gagal dipenuhi oleh Milan, kemungkinan besar Donnarumma akan ke Liga Perdana Inggeris – liga yang membayar gaji pemain dengan cukup tinggi seperti Liga Malaysia.

Walauapapun, ada baiknya jika Donnarumma tidak terlalu mengejar gaji yang tinggi memandangkan dia masih muda. Kalau di Malaysia, dia belum ada SPM pun lagi ni.

Tapi, permainan ejen pemain kadang-kadang memang mampu merubah lanskap bola sepak. Ejen lebih mementingkan pulangan wang, daripada masa depan pemain. Selalunya macam tu lah.