The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Digelar Maradona Berambut Perang, Siapakah Scott Ollerenshaw?

Eikrem pada November 29, 2016

Scott Ollerenshaw baru sahaja melancarkan serangan verbal terhadap Shebby Singh yang lancang menghentam Darren Lok. Sebagai orang lama dalam bola sepak Malaysia, Ollerenshaw pantas membalas kata-kata Shebby melalui satu artikel di sebuah majalah sukan.

Siapa Scott Ollerenshaw?

Dilahirkan pada 9 Februari 1968, Scott Ollerenshaw sangat dikenali di Malaysia sebagai penyerang import unggul Sabah pada musim liga 1994 sehingga 1998. Bermain di posisi penyerang, Ollerenshaw cukup tajam di hadapan gol dan telah menjaringkan 110 gol dalam 106 perlawanan untuk Sabah.

Ini bermaksud Ollerenshaw telah menjaringkan 1 gol untuk setiap perlawanan buat pasukan negeri di bawah bayu tersebut!

Tambahan pula gandingannya bersama Matlan Marjan telah membawa Piala FA pada tahun 1995 dan Liga Perdana (kini Liga Super) pada 1996 ke Kota Kinabalu.

Ollerenshaw memulakan kariernya St. George Saints, kelab semi pro Australia pada tahun 1986, sebelum berpindah ke Sydney Olympics pada tahun 1989.

Ollerenshaw sempat mencuba nasib di England apabila ditawarkan untuk bermain bersama Walsall FC, pada tahun 1992, namun selepas setahun, beliau kembali ke Australia sebelum menjengah ke liga Malaysia, menyertai Sabah.

Sepanjang Ollerenshaw bersama Sabah, Sang Badak menjadi pasukan yang cukup disegani dengan rekod-rekod berikut :

Tahun Liga Kedudukan akhir musim Piala Malaysia Piala FA
1994 Liga Perdana 4/16 Peringkat Kumpulan Naib Juara
1995 Liga Perdana 5/15 Separuh Akhir Juara
1996 Liga Perdana Juara Naib Juara Pusingan Ke-2
1997 Liga Perdana 3/15 Peringkat Kumpulan Pusingan Ke-2
1998 Liga Perdana 5/12 Separuh Akhir Naib Juara

Ketajaman Ollerenshaw di hadapan gol terbukti apabila muncul sebagai pemenang kasut emas dua tahun berturut-turut pada tahun 1995 dan 1996, mengatasi saingan utama, Hashim Mustapha yang memenanginya pada 1993 dan 1994.

Disebabkan prestasinya, Ollerenshaw digelar ‘Maradona Berambut Perang’ oleh peminat dan media.

Selepas empat musim gemilang bersama Sabah, Ollerenshaw kembali ke Australia untuk bermain sementara bersama Northern Spirit FC, sebelum bersara pada usia 31 tahun kerana kecederaan peha yang serius.

darren-lok-dan-scott-ollerenshaw

Usai bersara, Ollerenshaw banyak terlibat dalam sector pelancongan sukan. Dia juga telah terlibat dalam mendapatkan slot ke liga Perdana Queensland buat pasukan Harimau Muda pada tahun 2014. Ollerenshaw juga bergiat aktif sebagai scout dan ejen dan antara pemain yang dibawah jagaanya adalah Darren Lok dan Junior Eldstal.