Diet Yang Seimbang Mengikut Posisi Bola Sepak

Eikrem oleh Eikrem 2 bulan yang lalu

Seperti yang diketahui umum, pemakanan atau diet amatlah penting bagi seorang ahli sukan. Sebelum ini kami pernah kongsikan tips diet daripada lagenda Uruguay, Diego Forlan, dan kali ini kami akan kongsikan diet yang elok mengikut posisi pemain bola sepak.

Kita juga sedia maklum bahawa lain posisi memerlukan dan menggunakan tenaga yang berlainan ketika permainan.

Contohnya kalau bermain seperti N’Golo Kante yang turun naik seperti dirasuk semangat White Walkers, maka pemakanan yang memberikan lebihan tenaga amatlah diperlukan.

Pakar pemakanan dari Herbalife, Dana Ryan yang pernah bekerja bersama LA Galaxy dan Flamengo, telah berkongsi dengan Four Four Two mengenai pemakanan yang sesuai mengikut posisi masing-masing.

Penjaga Gol

Memandangkan fokus dan konsentrasi, di samping ketangkasan dan kelincahan yang tinggi diperlukan, maka penjaga gol digalakkan untuk mengambil supplemen dalam diet mereka.

Creatine – unsur utama dalam otot hadir dalam jumlah yang sedikit dalam daging merah. Maka untuk creatine tambahan, seorang penjaga gol boleh mengambil supplemen serbuk dalam lingkungan 3-5g satu hari dan ini akan membantu badan untuk mendapatkan tenaga daripada system phosphocreatine.

Formula Creatine. Nampak tu ikatan kovalen? | Gambar : Wikipedia

Tenaga ini akan menambah kekuatan otot untuk kegunaan dalam tempoh singkat. Di samping itu, pengambilan kafein 30 minit sebelum perlawanan bermula akan membantu mental untuk kekal fokus.

Tapi perlu diingat, kafein merupakan agen diuretic yang menyebabkan rasa nak terkencing. Bayangkan kalau penjaga gol UAE ketika mereka membelasah satu pasukan dari Asia Tenggara 10-0 beberapa tahun dulu minum kopi sebelum perlawanan, mesti dia lebih penat menahan kencing daripada menahan bola.

Itu dulu. Sekarang dikhabarkan pasukan dari Asia Tenggara tu dah kuat di bawah rejim baru.

Pertahanan

Kekuatan dan tenaga amatlah penting bagi back four atau back five bagi Chelsea, atau back 10 bagi Mourinho. Makanan ruji seperti daging, cheese dan telur boleh dikatakan sebagai diet yang seimbang untuk pembentukan otot, pengambilan protein yang ekstra mampu untuk menambah baik lagi otot para pemain pertahanan.

Setiap kali pemain melakukan tackle, tandukan dan pecutan, sebahagian daripada otot sebenarnya terkoyak dan proses pembentukan otot yang segera akan berlaku. Proses pembentukan otot secara segera ini memerlukan satu bahan yang dipanggil protein.

Nampak peha Roberto Carlos yang kaya dengan creatine? | Gambar : Bleacher Report

Maka selain daripada makanan yang disebut di atas, protein tambahan boleh diambil oleh para pemain pada kadar 105-120 g sehari bagi mereka yang mempunyai berat 75kg, dan dibahagi mengikut jumlah waktu makan.

Kau bayangkan Zlatan kena makan berapa banyak protein sehari. Dia tu berat adalah dalam 100kg lebih. Besar semacam je tengok.

Pemain Tengah

Kita akan lihat selalunya pemain tengah yang bagus bermain bola seperti menyertai marathon – berlari tanpa henti. Kalau pemain tengah yang lari tanpa arah tuju tu ada di Malaysia sahaja.

Bila mereka sering berlari maka simpanan glycogen dalam badan mereka sering diusik, maka untuk mengelakkan kekejangan otot pemain tengah perlu mengambil karbohidrat yang cukup dalam pemakanan harian.

Antara cara yang pantas untuk mendapatkan karbohidrat ialah dengan meminum minuman sukan yang mempunyai glycaemic index yang tinggi.

Glycaemix Index disukat dari nombor 1 ke 100, dan lebih tinggi nilai tersebut, maka tinggilah kandungan gula dalam minuman tersebut.

Selain daripada itu, BCAA – Branched Chain Amino Acids, juga membantu untuk membantu memulih dan meluruskan fiber otot yang rosak ketika di atas padang.

Untuk cari pemakanan yang ada bahan-bahan seperti di atas ini, kita selaku pemain amatur mungkin perlu mengeluarkan modal yang lebih untuk membeli produk import dan mempunyai kelulusan KKM.

Kalau setakat produk yang guna testimony screenshot Whatsapp tu kau lupakan je lah. Entah-entah produk-produk macam tu tak pernah masuk makmal ye dak?

Penyerang

Selain lebih glamour berbanding rakan sepasukan yang lain, seseorang penyerang itu perlu mengambil makanan yang membekalkan mereka cukup tenaga untuk meledakkan cubaan atau pecutan. Karbohidrat yang rendah Glycaemic Index akan membantu penyerang mendapatkan stamina yang cukup.

Tetapi karbohidrat jenis ini dihadamkan dengan perlahan dan perlu diambil dengan supplemen creatine yang mencukupi. Jika disiplin ini diamalkan, maka matlamat untuk mendapatkan daya pecutan dan ledakan yang bermutu tinggi seperti Leonel Messi akan dapat dicapai.

Rujukan : FourFourTwo




Paparkan Komen