The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Dianggap Sebagai Guru Dan Bapa Oleh Kiatisuk Senamuang, Siapakah Tuan Haji Bakri Ibni?

Encik Bakri pada November 24, 2016

Siapakah Tuan Haji Bakri Ibni sehingga dianggap sebagai guru dan bapa oleh Ketua Jurulatih Thailand, Kiatisuk ‘Zico’ Senamuang? Ketika pertemuan mereka 2 tahun lalu selepas final Piala AFF 2014 Zico telah memeluk dan mencium beliau.

Tidak cukup dengan ciuman dan pelukan, Zico juga telah mengejutkan Bakri apabila menjerit sambil berkata ‘my father, my father’ di hotel berkenaan yang dipenuhi orang ramai dan penyokong Thailand.

Tindakan Kiatisuk nyata membuatkan Bakri terharu. Siapakah Tuan Haji Bakri Ibni yang begitu istimewa di hati Zico?

Baca Juga : Kiatisuk Senamuang Menganggap Lagenda Bola Sepak Malaysia Sebagai Bapa Dan Gurunya

Bakri Ibni Penjaring Gol Pertama Malaysia Menentang Korea Selatan

Bakri Ibni merupakan salah seorang anggota skuad Olimpik Malaysia ke Moscow bersama Soh Chin Aun, James Wong, Shukur Salleh, Hassan Cucuk Hassan, R. Arumugam dan lain-lain lagi. Bakri juga beraksi dalam perlawanan menentang Korea Selatan pada 6 April 1980.

Ramai yang sudah tahu bahawa gol kemenangan Malaysia ketika itu dijaringkan James Wong pada minit ke-85 hasil serangan balas pantas Hassan Cucuk Hassan dan disudahi oleh James Wong. Tetapi mungkin ramai yang tidak tahu siapakah penjaring gol pertama?

Bakri Ibni seorang pemain tengah merupakan penjaring gol pertama Malaysia dengan satu sepakan lencong menewaskan penjaga gol Korea Selatan pada minit ke-12 sebelum Gang Nam Kim menyamakan kedudukan pada minit ke-58. Oleh kerana video jaringan Bakri tiada dijumpai seperti video Hassan Cucuk Hassan, marilah sama-sama kita berimaginasi.

“…Bakri Ibni dan James Wong terlebih dahulu berlari masuk ke dalam kotak penalti menanti tendangan percuma yang diambil oleh Shukur Salleh. Bola dihantar tinggi kepada James, oh tidak James gagal menanduk bola itu, begitu juga pemain-pemain Korea Selatan.

bakri-7

“…Bakri mengambil kesempatan mendapatkan bola… begitu tenang Bakri mengawal bola, pada masa yang sama penjaga gol Korea Selatan sudah keluar dari gawang gol untuk menerpa bola yang dibawa oleh Bakri. Dengan mudah Bakri membuat tendangan lencong (banana kick) menewaskan penjaga gol musuh, dan…GOLLLLLLLLLLLLLLLL….!!!”

Pada malam itu jaringan Bakri dan James Wong telah membawa Bola Sepak Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi apabila layak ke Sukan Olimpik Moscow tetapi malangnya Malaysia telah menarik diri daripada temasya itu.

bakri
Siri Jelajah Dunia

Karier Bakri Ibni

Dilahirkan pada 25 Ogos 1952 dan mula menimba pengalaman dalam bola sepak di SMK Syed Alwi, Perlis. Pada 1969 Bakri mewakili MSSM di kejohanan pertama Bolasepak Sekolah-Sekolah ASEAN. Pada 1973 beliau mewakili Perlis dalam pertandingan Piala Burnley.

Bakat Bakri dikesan oleh panel jurulatih negara dan dipanggil menyertai pasukan remaja kebangsaan di kejohanan Belia Asia. Selepas dua tahun Bakri terus diserapkan ke skuad utama malaysia dan bermain bersama Perlis sehinggalah bersara pada tahun 1984.

bakri-6

Selepas bersara Bakri beraksi bersama Talasco Insurance bergandingan bersama Mokhtar Dahari dan muncul juara Piala Dunhill Selangor serta mara ke separuh akhir Piala FAM. Pada tahun 1984 sehingga 1989 Bakri telah dilantik sebagai jurulatih dan juga pemain oleh Bank Rakyat yang beraksi di Liga Selangor.

Pada 1998 Bakri kembali ke Perlis tetapi selaku jurulatih dan bersama Perlis Bakri telah mengcungkil bakat Kiatisuk Sinamuang serta mendidik beliau sehingga dianggap guru dan bapa oleh Zico.

bakri-2

Pada 2012 Bakri telah menjadi Presiden Kelab Bolasepak Tunas Lagenda dan Ketua Jurulatih Akademi Bolasepak Tunas Lagenda sehinggalah hari ini.

Bakri Ibni Sayang Bola Sepak Malaysia

Bakri Ibni juga antara pemain yang lantang dalam menegur prestasi semasa pasukan kebangsaan lantaran rasa cinta dan sayang beliau kepada bola sepak dan amat mementingkan aspek pembangunan bola sepak.

“..Kalau kita pergi ‘players-to-players’, ada tidak pemain sekarang yang setanding dengan Arumugam? tiada. Ada tidak yang setanding dengan Chin Aun? Tiada. Dengan Ali Bakar, Shukor Salleh, Wong Choon Wah, Santokh Singh? Tiada. Apa lagi dengan dengan Mokhtar Dahari? juga tiada…” “Tanpa pemain hebat, pasukan tidak ke mana…”

“Ranking penting, pemain-pemain yang bagus akan main di luar. Pemain kita tak layak bermain di luar disebabkan ranking kita rendah…”

bakri-the-legend
The Legend

“Pembangunan bolasepak amat penting. Pokoknya adalah ILMU. Kita kena berfikiran terbuka menerima ilmu dan idea baru. Tanpa ilmu, sia-sialah usaha…”

“Ini tidak, bila kita komen, kita nasihat, terus nak diambil tindakan…”

“Tak ke mana bolasepak Malaysia kalau tak berubah…”

“Pemain sekarang gaji dekat 100 ribu, kalau dibanding dengan pengurus besar syarikat adakah setanding dengan mutu permainan yang dipamerkan…”

bakri-5
Bakri dan Arwah Mokhtar Dahari (atas)

“Presiden AFC orang kita, Setiausaha orang kita, Jawatankuasa kerja orang kita, tapi kita di takuk lama. Negara lain di Asia dah maju, kita tidak. Ada yang tak kena lah tu…”

“Kena buat kajian, bagaimana bolasepak kita mahu maju…BERUBAHLAH!..”

Bakri Ibni vs Encik Bakri

Penulis pernah bertemu dengan Bakri Ibni yang kini mesra disapa sebagai Tuan Haji pada tahun lepas di liga 1MCC menyaksikan pemain Akademi Bolasepak Tunas Lagenda beraksi. Dalam tempoh 45 berbicara mengenai perihal bolasepak Malaysia, berulang kali bibir beliau mengucapkan

“Kita sayang bola sepak Malaysia”

bakri-ibni
Gambar Terbaru Tuan Haji Bakri Ibni

Nyata pemain lagenda ini tidak lokek untuk berkongsi ilmu tetapi dengan situasi bola sepak Malaysia sekarang individu sebegini selalunya dipinggirkan. Seperti kata keramat Tuan Haji dari luar padang kepada pemainnya

“BALOQ LIAT”

Sumber Dan Gambar : Tunas Lagenda