The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Di Mana Identiti Corak Permainan Harimau Malaysia?

Syafiq Freman pada November 27, 2016

Kekalahan terhadap pasukan Myanmar memberi maksud yang jelas, Malaysia terkeluar dari perebutan ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2016.

Adakah Malaysia bermain teruk?

Tidak. Malaysia bermain dengan baik. Malah Ong Kim Swee mampu mentelaah pasukan negara dalam keadaan kekurangan pemain berpengalaman di peringkat antarabangsa. Namun bola sepak dan statistik tidak dapat dipisahkan.

OKS gagal memberikan keputusan yang baik terhadap skuad Kebangsaan secara konsisten. OKS merupakan seorang jurulatih yang berpengalaman di Malaysia namun beliau terlalu variable dalam menetapkan corak permainan.

Preastasi yoyo dengan corak permainan yang berubah dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

OKS Gagal Menerapkan Identiti Skuad Kebangsaan

Thailand mengalami kejatuhan bola sepak sejak beberapa tahun yang lalu. Corak permainan mereka pada ketika itu adalah bola sepak asas dan benar mereka gagal menterjemah keputusan. Mereka mengekalkan corak permainan asas bola sepak moden tersebut, hantaran pendek yang pantas. Kini mereka adalah pasukan terkuat di Asia Tenggara dan mula digeruni pasukan gergasi Asia seperti Jepun dan Korea. Berkat kesabaran dalam membina identiti baru pasukan.

Identiti pasukan Thailand kini adalah sangat jelas. Mereka bermain bola sepak moden. Perkara yang sama turut diikuti pasukan lain seperti Vietnam dan Myanmar. Mereka mampu melakukan hantaran silang yang functional dan menyerang dari bawah dengan tersusun. Ini adalah asas bola sepak moden. Yang paling mengejutkan adalah bagaimana Indonesia & Filipina mampu mengikuti langkah yang sama dalam jangkamasa yang pendek.

Dan ya, Malaysia tidak bermain dengan identiti permainannya yang tersendiri. Hantaran jauh tanpa arah adalah corak permainan bola sepak 15 tahun yang dahulu. Anda dapat lihat permainan seperti ini dengan kerap ketika Liga Perdana Inggeris mula-mula diperkenalkan pada tahun 1992.

‘Benchmark’ Pasukan Malaysia

Malaysia bermain baik ketika menentang Macau (seri 0-0), Chelsea (tewas 1-0) dan Kemboja (menang 3-2). Statistik ketiga-tiga perlawanan ini tidak memberangsangkan namun jika Malaysia mengekalkan corak permainan seperti ini maka Malaysia mampu ke satu tahap yang lebih baik.

Saya terkejut melihat bagaimana OKS mengubah corak permainan dengan begitu ketara apabila menentang pasukan yang kuat sedangkan ianya hanyalah dalam level bola sepak yang tidak jauh bezanya.

Pemilihan Pemain Bermasalah?

Tidak. Hal seperti ini adalah sesuatu yang sukar diungkap melainkan OKS sendiri. Hanya jurulatih yang memahami pemain yang dikehendakinya. Sebagai contoh DARREN LOK. Saya tidak nampak sebarang masalah dengan pemilihan Darren Lok walaupun beliau kurang perlawanan kompetitif di Malaysia. Darren adalah prospek pemain muda yang baik.

Bagaimana kamu seorang senior pemain bola sepak Malaysia mengkritik pemilihan pemain muda dengan begitu keras seolah-olah Liga Malaysia ini sama seperti Liga Perdana Inggeris. Jauh Panggang Dari Api! Liga Malaysia tidak mempunyai database pemain berprestasi tinggi yang cukup.  Pemilihan pemain kurang pengalaman dan dari divisyen bawah adalah norma bagi negara yang bolasepaknya tidak begitu cemerlang. Malaysia bukan England dan bukan juga Sepanyol.

Tukar Jurulatih?

Penukaran jurulatih tidak sepatutnya menjadi perkara yang begitu berat. Sebaliknya Malaysia harus bangkit mencari identiti permainan bola sepak moden mereka yang tersendiri tidak kira siapapun yang mengkepalai di bilik persalinan. Lambung sana lambung sini bukanlah solusi jangka panjang yang baik. Kita dimomokkan bahawa penukaran jurulatih mampu membantu pasukan sedangkan sudah berpuluh tahun Malaysia masih lagi ditahap yang sama. Ya, selepas menukar lebih 15 jurulatih sejak 1989.

Jika benar ingin mencari jurulatih baru, carilah yang benar-benar berkelas dunia. Jurulatih dari Eropah dan Amerika Selatan yang mahir berbahasa Inggeris adalah pilihan terbaik sebagai pengganti.

Pemain di Liga Malaysia menerima struktur gaji yang tinggi dan kemudahan yang baik berbanding lain-lain negara ASEAN. Pemilihan jurulatih yang tegas beserta portfolio yang cemerlang amat-amat diperlukan dalam situasi seperti ini. Malaysia bukan Timor Leste. Secara puratanya para pemain di Liga Malaysia menerima gaji yang sangat tinggi. Macam mana mereka nak dengar cakap orang yang langsung tak ada kredibilialiti?

Cari Identiti Tersendiri

Bermula dengan permainan asas bolasepak moden dan cari identiti sendiri dengan corak permainan yang menyeronokkan. Mahu tidak mahu Malaysia wajib bermula dari bawah dan istikomah dalam membina pasukan sendiri.

Jangan hari ini bermain seperti ini, esoknya kembali ke zaman silam dengan hantaran-hantaran lambung yang menjelekkan. Hiraukan kritikan peminat yang kadang kala terlalu fokus kepada keputusan perlawanan tanpa memikirkan corak permainan pasukan yang mampu memberi kesan untuk jangka masa panjang.

Kita bergembira bercakap mengenai taktikal tetapi lupa perkara-perkara paling asas dalam bolasepak.

Akhir kata, lambungan-lambungan ke atas setiap masa bukanlah identiti yang kita mahukan. Dan yang sudah lama di atas tu bawa-bawalah bertendang. Tak malu ke?