Dari Budak Kilang Kepada Penjaring Gol Sensasi Liga Perdana Inggeris

Mohd Hazwan oleh Mohd Hazwan 4 minggu yang lalu

Vardy dilepaskan oleh Sheffield Wednesday ketika berusia 16 tahun dengan alasan saiz fizikalnya yang terlampau kecil untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang handal.

Selepas peristiwa sedih itu, Vardy mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang Sains Sukan di sebuah kolej tempatan di England dan memulakan seketika karier bola sepak.

Vardy bersama pasukan remaja Sheffield Wednesday Sumber: Mirror

“Apabila aku dilepaskan oleh kelab Sheffield Wednesday, aku berhenti bermain bola sepak untuk seketika. Itu adalah saat paling teruk dalam karier aku. Sungguh aku tak mampu untuk mengharunginya”-Jamie Vardy

Kembali Bermain Bola Sepak Semula

Vardy akhirnya membuat kemunculan semula dalam dunia bola sepak apabila menyertai sebuah kelab bola sepak amatur Stockbridge Park Steels yang bermain di liga ketujuh dalam hierarki bola sepak England. Selain itu, Vardy juga bekerja secara sambilan di sebuah kilang membuat alat sokongan perubatan.

Ketika itu gaji mingguan sebagai pemain bola sepak amatur hanyalah 30 pound seminggu. Bermula sebagai pemain pasukan simpanan, Vardy akhirnya berjaya membuat debut bersama pasukan senior Stockbridge pada tahun 2007.

Jamie Vardy bersama pasukan remaja Stocksbridge Park Steels Sumber: Mirror

“Dia permain pertama datang latihan dan yang terakhir pulang”,- Allen Bethel (Pengerusi Stockbridge Park Steel)

Selepas tiga musim bersama Stockbridge, Vardy berhijrah ke FC Halifax Town dengan bayaran sebanyak 15 ribu pound. Dia tidak menunggu lama untuk membuktikan keunggulannya bersama pasukan baru apabila menjaringkan gol kemenangan ketika debut bersama Halifax Town. Pada musim tersebut dia berjaya menjaringkan 26 gol secara keseluruhan untuk Halifax Town.

Vardy berhijrah lagi kali ini ke kelab Fleetwood Town yang bermain di Conference Premier.Vardy berjaya menjadi penjaring terbanyak dalam kejohanan tersebut dengan 31 gol dan membantu kelabnya muncul juara dan layak ke League 2 buat pertama kali dalam sejarah.

Rekod Perpindahan Untuk Pemain Bukan Liga

Pada tahun 2012, kelab Liga Kejuaraan Leicester City berjaya mendapatkan khidmat Vardy dengan nilai 1 juta pound. Satu rekod perpindahan baru untuk sebuah kelab bukan liga.

“Semasa aku di Fleetwoot, aku tak sangka akan bermain untuk pasukan Leicester. Ini adalah perhentian aku yang seterusnya dan peluang ini sangat besar”

Namun musim pertama Vardy bersama The Foxes tidak seperti yang diharapkan apabila hanya mampu menjaringkan 5 gol. Ini mengundang kritikan daripada peminat-peminat Leicester City.

Musim berikutnya Vardy berjaya membuktikan yang dia masih bernilai kepada pasukan Leicester apabila menjaringkan 16 gol dan membantu pasukan layak ke Liga Perdana Inggeris. Kontraknya telah dilanjutkan sehingga tahu 2018.

Kisah Dongeng Seorang Vardy

Penampilan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris pada musim 2014-2015 bermula agak perlahan apabila perlu menyesuaikan diri dengan gaya permainan pantas dan keras. Dia hanya berjaya menjaringkan 5 gol untuk sepanjang musim tersebut.

Pada musim 2015-2016 Vardy tidak lagi menoleh ke belakang. Dia bagaikan dirasuk semangat dewa bola sepak apabila berjaya menjaringkan gol dalam 11 perlawanan liga berturut-turut.

Dia berjaya membantu Leicester City menjadi juara Liga Perdana Inggeris dan menduduki tempat kedua dalam senarai penjaring terbanyak di belakang Harry Kane.

Sumber: TeamTalk

Disebabkan prestasi terbaik yang ditunjukkan Vardy pada musim tersebut, dia telah terpilih untuk mewakili skuad kebangsaan England pada kejohanan EURO 2016.

Dia mempunyai kesungguhan dan fokus yang tinggi. Dia mempunyai mental yang kuat dan tidak pernah berputus asa. Dia adalah inspirasi kepada orang lain”, Claudio Ranieri.

Sumber:

Worldsoccertalk 

Dawn.Com


Share Tweet


Paparkan Komen