Craig Shakespeare Temui Semula Kunci Kejayaan Leicester Musim Lepas

Eikrem 3 bulan yang lalu

Claudio Ranieri telah membawa Leicester City melakukan satu perkara yang tidak terjangka oleh orang ramai – memenangi liga. Para pemain berjuang dalam setiap perlawanan bagaikan seekor singa yang lapar dan sedia menerkam mangsanya.

Akan tetapi, apabila musim ini bermula, Leiester City bagaikan hilang punca dan tidak menjadi pasukan sekonsisten musim lalu. Jamie Vardy layu bagaikan bayam yang telah berada di dalam peti sejuk selama seminggu dan kapten mereka Wes Morgan kelihatan sangat berat untuk bergerak, bagaikan pampers bayi yang penuh.

Akhirnya, Ranieri dipecat selepas keputusan yang buruk berterusan, dan digantikan pembantunya, Craig Shakespeare. Menariknya, di bawah Shakespeare, Leicester masih belum pernah tewas, malah menang kesemua lima perlawanan.

The Foxes ini juga telah mendaki tangga ke-11 liga, berbanding di tangga ke-17 ketika Ranieri dipecat. Jadi, apakah rahsia mujarab Shakepeare? Adakah dia menggunakan khidmat bomoh siam? Atau bertukar arah kepada raja bomoh Malaysia?

Jadi, apa yang telah dilakukan Shakepeare?

Asas permainan Foxes musim lepas ialah menerima asakan bertubi-tubi pihak lawan dan lancarkan serangan balas gerila yang pantas, ketika lawan masih belum lagi bersedia. Mereka bagaikan sengaja memberikan bola kepada pihak lawan dan bagaikan menyuruh pihak lawan menyerang mereka.

Pada awal musim ini, Ranieri kelihatan cuba menukar gaya permainan mereka. Pemain pertahanan Leicester tidak lagi menunggu pihak lawan di kawasan deep mereka, malah ketika tewas kepada Manchester United, Huth dan Morgan berada di garisan tengah padang.

Bersama Shakespeare, mereka kembali bermain seperti musim lalu. Dengan kata lain, Shakespeare menggunakan taktik Ranieri pada musim lalu. Odenyi Ndidi pula semakin hari semakin menjadi jelmaan Kante, dan membentuk persefahaman yang kukuh bersama Huth dan Morgan.

Vardy pula sudah mula ketagih menjaringkan gol, Mahrez dengan tiba-tiba melonjak semangatnya, dan mula menari-nari bersama bola di bahagian tepi padang.

Ranieri yang baru?

Dalam lima perlawanan Shakespeare, Leicester mempunyai penguasaan bola lebih daripada pihak lawan hanya sekali sahaja, dan dalam perlawanan lain, mereka lebih gemar memberikan pihak lawan untuk memegang bola.

Adakah Shakespeare akan membawa Leicester kekal di dalam Liga Perdana? Itu sudah pasti.

Adakah taktik serangan balas ini mampu untuk menumbangkan Atletico Madrid di Liga Juara-juara? Mungkin.

Artikel ini merujuk kepada artikel The Sun sebelum diklepet .