Conte: Tiada Lagi Sengketa Antara Saya Dan Mourinho

Izuddin oleh Izuddin 1 tahun yang lalu

Pengurus Chelsea, Antonio Conte berkata persengketaan di antara beliau dan Jose Mourinho merupakan perkara lepas dan beliau akan menghulurkan tangan kepada Mourinho apabila mereka berdua bertemu dalam perlawanan akhir Piala FA hujung minggu ini.

Mourinho dan Conte mempunyai hubungan yang dingin sejak pengurus berasal dari Itali tersebut tiba di England pada musim panas 2016. Persengketaan di antara mereka berdua menjadi lebih panas pada awal tahun ini dimana Mourinho mengeluarkan kenyataan menuduh Conte sebagai seorang penipu.

Tiada lagi konflik antara Conte dan Mourinho

Conte pernah digantung beberapa bulan oleh badan bolasepak Itali kerana tidak melaporkan kepada pihak berkuasa salah laku mengatur perlawanan ketika menjadi pengurus Siena dalam saingan Serie A.

Walaupun mempunyai hubungan dingin dengan Mourinho, bekas jurulatih Juventus dan Itali tersebut memberitahu tiada lagi konflik di antara mereka berdua dan semuanya sudah dilupakan.

"Persengketaan di antara saya dan Mourinho tidak lagi penting dan ia merupakan perkara silam. Sekarang wujud hubungan yang baik di antara saya dan Mourinho. Esok, saya akan bersalam dengan beliau dan selepas itu, kami berdua akan fokus terhadap perlawanan."

Mengenai aksi final malam esok di Stadium Wembley, Conte mengesahkan hanya seorang pemain tidak dapat beraksi kerana masalah kecederaan, iaitu bek kiri Emerson Palmieri.

Kami kawan baik sekarang

Bagi Manchester United pula, terdapat keraguan mengenai tahap kecergasan penyerang utama mereka, Romelu Lukaku dan beliau akan menjalani ujian saat akhir bagi menentukan sama ada dapat diturunkan bermain atau tidak.

Tanpa kehadiran Lukaku dalam pasukan United, ia sudah tentu bakal memberi kelebihan kepada Chelsea kerana mereka tidak perlu risau lagi mengenai ancaman fizikal Lukaku. Walau bagaimanapun, Conte tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perkara tersebut kerana Mourinho mempunyai pemain lain yang sedia menggalas tugas Lukaku dengan baik.

"Kita bercakap sedang bercakap mengenai pemain yang sangat penting buat Manchester United [Romelu Lukaku] tetapi mereka masih lagi boleh memilih pemain penting yang lain dalam skuad mereka."

"Saya tidak tahu apa keputusan Mourinho. Tetapi apa yang pasti sekiranya Lukaku tidak dapat bermain, terdapat ramai lagi pemain hebat yang mampu mengisi tempat Lukaku dengan baik."

"Anda tidak merancang taktikal pasukan berdasarkan seorang pemain sahaja. Jika Lukaku tidak dapat bermain, ia bermakna United memiliki penyerang lain yang sama pentingnya. Seperti contoh, Marcus Rashford mungkin akan bermain."

Aksi final tahun lalu menyaksikan Chelsea dikecewakan Arsenal 2-1 walaupun turun selaku pasukan pilihan

Mengenai masa depan Conte di Stamford Bridge, terdapat spekulasi mengatakan perlawanan akhir Piala FA ini bakal menjadi perlawanan terakhir Conte sebagai jurulatih The Blues. Ketika diminta untuk mengulas mengenai masa depannya, Conte enggan memberikan komen lebih lanjut kerana fokusnya hanya pada aksi final malam esok.

"Apa yang saya boleh pastikan adalah perlawanan malam esok merupakan perlawanan terakhir saya musim ini. Selepas itu, seperti anda semua sedia maklum, saya masih lagi mempunyai kontrak dan komited terhadap kelab ini."



Paparkan Komen