City & United Bersaing Sengit Merebut Tandatangan Harry Maguire

Izuddin oleh Izuddin 5 hari yang lalu

Manchester United dan Manchester City akan meneruskan persengketaan di antara mereka apabila bakal bersaing merebut tandatangan pemain pertahanan England, Harry Maguire pada jendela perpindahan musim panas ini.

Dengan kempen England dalam kejohanan UEFA Nation's League sudah berakhir, tumpuan kini terjurus pada masa depan Maguire bersama Leicester City.

£17 juta sahaja dibelanjakan Leicester untuk Maguire dua tahun yang lalu. Kini nilai beliau naik berkali-kali ganda

Maguirre yang berpindah ke Leicester dari Hull City pada tahun 2017, masih mempunyai baki kontrak selama 3 tahun dan Leicester sendiri pernah menyatakan pendirian tidak ingin melepaskan Maguire dalam masa terdekat ini.

Ini bermakna mana-mana kelab yang ingin mendapatkan khidmat Maguire musim panas ini perlu berbelanja besar atau perlu meleburkan rekod pembelian pemain pertahanan Inggeris untuk Maguire.

Leicester dilaporkan tidak meletakkan sebarang tanda harga pada pemain berusia 27 tahun ini tetapi menurut sumber Sky Sports, Maguire kini dinilai pada harga sekitar £80 juta. Ia merupakan nilai yang lebih tinggi dari apa yang dibayar Liverpool ketika mendapatkan Virgil van Dijk dari Southampton awal tahun lepas, sekitar £75 juta.

Walau bagaimanapun, Manchester United dan Manchester City tidak lah bodoh untuk membelanjakan wang sebanyak itu untuk mendapatkan Maguire. Seperti kebiasaan, nilai pemain England selalunya tidak masuk akal dan tidak berpadanan dengan kebolehan mereka tidak di atas padang.

Pemain England paling menyerlah dalam kempen Piala Dunia 2018

Kedua-dua kelab Manchester itu merasakan nilai Maguire jauh lebih rendah daripada £80 juta. Untuk rekod, yuran perpindahan tertinggi yang pernah dibayar Manchester City adalah ketika membeli Kyle Walker dari Tottenham, iaitu sekitar £50 juta pada tahun 2017.

Sekiranya City berjaya mendapatkan Maguire, Ole Gunnar Solksjer mungkin mengalihkan perhatian terhadap pemain pertahanan kental daripada Napoli, Kalidou Koulibaly.

Walaupun Solskjer dilaporkan ingin membina skuadnya sambil dikelilingi bintang Inggeris, beliau tidak mampu menawarkan aksi Liga Juara-Juara Eropah kepada Maguire. Manchester City pula mempunyai segala-galanya, ditambah dengan kekosongan yang ditinggalkan Vincent Kompany, tempat Maguire dalam kesebelasan utama The Citizens hampir terjamin sekiranya beliau berpindah ke Etihad.

Walaupun Leicester tidak mahu kehilangan khidmat Maguire, mereka telah merencana pelan kecemasan sekiranya ia berlaku. Mereka telah mengenal pasti pemain Burnley, James Tarkowski sebagai calon utama untuk menggantikan tempat Maguire.

Maguire gagal bantu England mara ke final selepas tumbang kepada Belanda di peringkat separuh akhir

Berbeza dengan kebanyakan pemain lain, Maguire bukannya jenis pemain yang akan memberontak jika tidak dibenarkan berpindah ke kelab yang lebih besar. Menurut sumber terdekat, Maguire tidak akan meminta untuk berpindah kerana terhutang budi dengan Leicester yang sanggup membelanjakan £17 juta untuk membelinya dari Hull City pada tahun 2017.

Sejak berpindah ke King Power Stadium, beliau telah berkembang menjadi antara pemain pertahanan terbaik dalam Liga Perdana Inggeris dan diangkat menjadi pemain utama dalam skuad England.




Paparkan Komen